Khamis, 26 Mac 2020

Sinopsis Novel Jendela Menghadap Jalan




Lili seorang anak remaja yang menetap di bandar. Dia pulang ke kampung sebelah ibunya pada musim cuti persekolahan atas desakan ibunya. Demi  tidak melukakan hati seorang ibu, Lili menurut walau pun batinnya melawan.  Di sana beliau diserkap tanda tanya  tentang hampir semua rumah di kampung itu dibina dengan jendelanya menghadap jalan. Hal inilah  yang menjadi persoalan yang  bermain di minda Lili. Persoalan yang sering diajukan kepada datuk dan deneknya, tetapi jawapan mereka sering ditangguhkan dan ini menambahkan perasaan ingin tahu Lili. Di kampung, ada remaja yang menjadi rakan  Lili seperti, Danel dan Geetha yang pernah ditemui sewaktu  di dalam bas ke Dungun. Di Kampung Sentosa ini ada juga remaja yang menjadi watak antagonis seperti Rafik dan Haziq.Watak remaja nakal (pada awalnya dan berubah menjadi baik pada akhirnya) yang sengaja diwujudkan sebagai memberitahu kepada para pembaca remaja sekalian yang sekali jahat bukan selama-lamanya akan jahat. Watak mereka juga sebagai motivasi bagi para remaja bahawa masih belum terlambat untuk berbuat baik dan bertaubat.Lili menetap di kampung bersama dengan datuk dan neneknya di sebuah rumah kampung yang  jendelanya menghadap jalan.
 
Duduk di kampung, Lili dapat berasakan bahawa penduduknya agak pelik.Datuk sangat berpegang kepada adat tradisional di samping watak remaja iaitu Danel yang dihadirkan sama sebagai 'penentang' kepada perubatan tradisional datuk.Mereka saling mengemukakan hujah-hujah untuk memenangkan diri masing-masing.Si datuk tetap menolak kehidupan moden dengan berpendapat bahawa kehidupan moden bakal memusnahkan perkara yang diwarisi turun -temurun.

           Danel pula dengan tidak menghukum adat tradisional kesemuanya, berpendapat segala yang diciptakan pada zaman moden ini adalah  untuk memudahkan kehidupan manusia dan menjadikannya lebih senang untuk dikendalikan. Akan tetapi apabila berlakunya kes penculikan terhadap Lili perwatakannya berubah.Penceritaan lebih tertumpu kepada keluarga Che Jah, ibu kepada watak Rafik dan Haziq yang telah menculik Lili tanpa disengajakan. Lili cuba menyelami permasalahan yang berlaku dalam keluarga Che Jah. Rafik dan Haziq terlibat dalam gejala sosial disebabkan oleh bapanya, Seman  yang bersikap panas baran, pemabuk ,kaki judi dan tidak bertanggungjawab. Lili meminta pendapat Kak Mimah seorang daripada pesakit datuk mengenai kes keganasan rumah tangga. Hal ini kerana Kak Mimah bekerja sebagai penolong pegawai di Jabatan Kebajikan Masyarakat,Bahagian Warga Tua dan Keluarga.Kak Mimah berjanji akan cuba membantu menyelesaikan kes keluarga Che Jah. Akhirnya,kes keluarga Che Jah berjaya diselesaikan dengan kerjasama Kak Mimah.
 
Penduduk kampung menyalahkan datuk yang dituduh cuba melindungi Che Jah kerana datuk pernah memberikan pekerjaan kepada suami Che Jah. Datuk juga dipersalahkan kerana tidak melaporkan kes penculikan Lili.Selain itu,datuk juga dituduh pengkhianat bangsa kerana datuk dikatakan bersubahat dengan Pak Cik William dan abang Danel ,Sugi yang ingin membeli tanah milik penduduk kampung untuk dimajukan menjadi kawasan perumahan.
 
Ibu berasa pelik kerana Lili tidak merungut tentang hari-hari yang telah dilalui di kampung datuk dan nenek.Lili berasa pengalaman yang diperoleh sepanjang dia berada di kampung amat bermakna.Lili,Geetha dan Danel menyaksikan matahari terbit di jeti nelayan. Mereka berjanji akan terus berhubung melalui surat ,telefon dan e-mel. Datuk,Haji Abdul Rahman bercerita mengenai sejarah jendela yang menghadap jalan tetapi cerita tersebut tidak terperinci dan beliau berjanji untuk bercerita lagi Lili apabila Lili pulang ke kampung nanti . Datuk memulakan ceritanya  sewaktu zaman penjajahan tentera Inggeris. Kisah hidup datuk  dan nenek  Lili penuh dengan penderitaan namun sejarah hidup mereka belum habis diceritakan kepada Lili begitu juga tentang jendela menghadap jalan.
           Pada pengakhiran cerita ini, Danel dan Lili saling berhubungan antara satu sama lain dan bercerita tentang diri masing-masing. Mereka juga turut bercerita tentang Che Jah yang telah mendapat pembelaan yang sewajarnya manakala Rafik dan Haziq telah berubah menjadi baik. Mereka akan menduduki peperiksaan PMR sebagai calon persendirian. Lili tidak sabar untuk kembali ke Kampung Sentosa kerana mahu mengutip cerita datuk tentang jendela menghadap jalan dan cerita nenek tentang sejarah hidupnya bersama-sama datuk hingga ke saat ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan