Arahan:
PdPR kali Kedua :Salin Bahagian 1 yang mengandungi Soalan, Pendahuluan, Isi 1 dan Isi 2 untuk satu sesi pembelajaran pertama.
PdPR Kali Ketiga:Salin bahagian 2 yang terdiri daripada Isi 3. Isi 4, Isi 5 dan Penutup untuk sesi pembelajaran kedua.
Bahagian 1
Soalan.
Sudah menjadi amalan rakyat Malaysia, tradisi atau amalan rumah
terbuka seakan menjadi kemestian bagi setiap perayaan utama seperti Hari
Raya, Deepavali dan Tahun Baharu Cina.
Aidilfitri misalnya disambut meriah setiap tahun oleh semua kaum di
negara ini tanpa mengira agama dan keturunan. Masyarakat Melayu
rata-rata akan mengadakan rumah terbuka bagi meraikan tetamu dan jiran
tetangga serta rakan taulan, jauh dan dekat. Pelbagai juadah disediakan
bagi menjamu tetamu yang dinantikan kehadirannya.
(Sumber: Berita Harian Online: 26 Julai 2015)
Berdasarkan petikan akhbar di atas, jelas majlis rumah terbuka pada musim perayaan di Malaysia kini telah
menjadi amalan .
Jelaskan
faedah-faedah mengadakan majlis rumah terbuka.
Model karangan
Malaysia
sebuah negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum. Setiap kaum pula
mempunyai perayaan mereka sendiri. Menariknya, perayaan di Malaysia disambut
oleh semua kaum secara bersama. Inilah budaya unik rakyat Malaysia yang sentiasa melakukan
aktiviti bersama-sama kaum lain biarpun berlainan agama. Kebiasaannya, undangan
rumah terbuka disampaikan secara lisan dan terbuka tanpa memerlukan kad ucapan
atau jemputan secara rasmi. Malah, pada peringkat kebangsaan, Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan akan menganjurkan sambutan perayaan secara
besar-besaran dengan kehadiran pemimpin utama negara dan terbuka kepada semua
rakyat Malaysia dan pelancong.
Rumah
terbuka yang dianjurkan dapat membentuk perpaduan kaum di negara kita.
Penduduk Malaysia yang berbilang kaum, terdiri daripada orang Melayu, India,
Cina, Iban dan Kadazan dapat diundang untuk satu majlis secara bersama.
Kedatangan mereka akan memeriahkan lagi sambutan sesuatu perayaan, contohnya
rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri yang disambut oleh kaum Melayu akan
bertambah meriah bila disertai oleh kaum-kauam lain. Jelasnya, perpaduan kaum
dapat dijalin dengan rapat bak kata pepatah “rumpun bak serai, junjung bak
sirih”.
Pada
masa yang sama, rumah terbuka juga dapat meningkatkan semanagat kejiranan.
Jiran tetangga dapat bertemu, berbincang dan beramah mesra sambil menikmati
hidangan. Pada waktu inilah peluang untuk bertemu dengan jiran yang kadang kala
sibuk dengan pekerjaan masing-masing. Jadi, sambutan rumah terbuka dapat
dijadikan sebagai batu loncatan untuk meningkatkan semangat kejiranan.
Kata-kata hikmat “jiran sepakat membawa berkat” memang sesuai dan perlu
diamalkan oleh rakyat negara kita.
Bahagian 2
Selain
itu, majlis rumah terbuka dapat membantu penduduk Malaysia memahami budaya kaum
lain yang ada di Malaysia. Persefahaman akan dibentuk dan
mereka akan saling memahami adat dan pantang larang kaum lain, contohnya,
ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri kaum lain yang berkunjung akan membuka kasut
apabila datang berkunjung ke rumah kaum Melayu. Dengan ini, masyarakat akan
dapat memahami budaya kaum lain. Persefahaman akan membentuk masyarakat yang
bersatu padu dan saling bekerjasama untuk kebaikan bersama.
Seterusnya,
rumah terbuka dapat menarik minat pelancong ke Malaysia untuk melancong dan
seterusnya menyambut perayaan di negara kita. Perkara ini
dapat dipraktikkan dengan Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan
mengadakan majlis rumah terbuka Malaysia semasa Hari Raya Aidilfitri, Tahun
Baru Cina dan Pesta Keamatan dan menjemput para pelancong untuk datang. Dengan
ini, industri pelancongan negara akan dapat digalakkan dan berkembang maju.
Kedatangan pelancong ke negara kita akan memberi rahmat dan keuntungan kepada
industri hiliran seperti industri kraftangan, pembuatan bahan hiasan dan
makanan ringan.
Pada
masa yang sama, hubungan silaturahim dalam keluarga akan dapat dirapatkan
apabila masyarakat mengadakan rumah terbuka kerana mereka akan saling
bekerjasama dan beramah mesra apabila berjumpa.
Sememangnya rumah terbuka ialah medan pertemuan yang paling sesuai untuk ahli
keluarga yang jauh mahupun dekat. Yang muda akan dapat mengenali mereka yang
tua dengan lebih dekat dalam pertemuan ahli keluarga ini. Dengan ini, hubungan
kekeluargaan akan dapat diperkukuh dengan lebih erat ibarat kata pepatah “bagai
aur dengan tebing”.
Kesimpulannya,
majlis rumah terbuka mendatangkan pelbagai manfaat kepada semua.
Majlis ini sangat wajar terus dilaksanakan dengan lebih kerap dan tersusun.
Perkara yang utama bukanlah banyaknya juadah yang disediakan tetapi keikhlasan
untuk mengundang rakan dan taulan. Hubungan silaturahim yang terjalin akan
membawa kepada rahmat Yang Maha Kuasa dan seterusnya membina keamanan yang
berterusan di negara kita.