Isnin, 15 Mac 2021

KARANGAN DOMAIN AWAM: Rumah Terbuka rakyat Malaysia

 Arahan: 

PdPR kali Kedua :Salin Bahagian 1 yang mengandungi Soalan, Pendahuluan, Isi 1 dan Isi 2 untuk satu sesi pembelajaran pertama.

PdPR Kali Ketiga:Salin bahagian 2 yang terdiri daripada Isi 3. Isi 4, Isi 5 dan Penutup untuk sesi pembelajaran kedua.


Bahagian 1

 Soalan.

Sudah menjadi amalan rakyat Malaysia, tradisi atau amalan rumah terbuka seakan menjadi kemestian bagi setiap perayaan utama seperti Hari Raya, Deepavali dan Tahun Baharu Cina.

Aidilfitri misalnya disambut meriah setiap tahun oleh semua kaum di negara ini tanpa mengira agama dan keturunan. Masyarakat Melayu rata-rata akan mengadakan rumah terbuka bagi meraikan tetamu dan jiran tetangga serta rakan taulan, jauh dan dekat. Pelbagai juadah disediakan bagi menjamu tetamu yang dinantikan kehadirannya.

(Sumber: Berita Harian Online: 26 Julai 2015) 

Berdasarkan petikan akhbar di atas, jelas majlis rumah terbuka  pada musim perayaan di Malaysia kini telah menjadi amalan .

 Jelaskan faedah-faedah mengadakan majlis rumah terbuka.

 

Model karangan

Malaysia sebuah negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum. Setiap kaum pula mempunyai perayaan mereka sendiri. Menariknya, perayaan di Malaysia disambut oleh semua kaum secara bersama. Inilah budaya  unik rakyat Malaysia yang sentiasa melakukan aktiviti bersama-sama kaum lain biarpun berlainan agama. Kebiasaannya, undangan rumah terbuka disampaikan secara lisan dan terbuka tanpa memerlukan kad ucapan atau jemputan secara rasmi. Malah, pada peringkat kebangsaan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan menganjurkan sambutan perayaan secara besar-besaran dengan kehadiran pemimpin utama negara dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan pelancong.

Rumah terbuka yang dianjurkan dapat membentuk perpaduan kaum di negara kita. Penduduk Malaysia yang berbilang kaum, terdiri daripada orang Melayu, India, Cina, Iban dan Kadazan dapat diundang untuk satu majlis secara bersama. Kedatangan mereka akan memeriahkan lagi sambutan sesuatu perayaan, contohnya rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri yang disambut oleh kaum Melayu akan bertambah meriah bila disertai oleh kaum-kauam lain. Jelasnya, perpaduan kaum dapat dijalin dengan rapat bak kata pepatah “rumpun bak serai, junjung bak sirih”.

Pada masa yang sama, rumah terbuka juga dapat meningkatkan semanagat kejiranan. Jiran tetangga dapat bertemu, berbincang dan beramah mesra sambil menikmati hidangan. Pada waktu inilah peluang untuk bertemu dengan jiran yang kadang kala sibuk dengan pekerjaan masing-masing. Jadi, sambutan rumah terbuka dapat dijadikan sebagai batu loncatan untuk meningkatkan semangat kejiranan. Kata-kata hikmat “jiran sepakat membawa berkat” memang sesuai dan perlu diamalkan oleh rakyat negara kita.

 

Bahagian 2 

 

Selain itu, majlis rumah terbuka dapat membantu penduduk Malaysia memahami budaya kaum lain yang ada di Malaysia. Persefahaman akan dibentuk dan mereka akan saling memahami adat dan pantang larang kaum lain, contohnya, ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri kaum lain yang berkunjung akan membuka kasut apabila datang berkunjung ke rumah kaum Melayu. Dengan ini, masyarakat akan dapat memahami budaya kaum lain. Persefahaman akan membentuk masyarakat yang bersatu padu dan saling bekerjasama untuk kebaikan bersama.

Seterusnya, rumah terbuka dapat menarik minat pelancong ke Malaysia untuk melancong dan seterusnya menyambut perayaan di negara kita. Perkara ini dapat dipraktikkan dengan Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan mengadakan majlis rumah terbuka Malaysia semasa Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Pesta Keamatan dan menjemput para pelancong untuk datang. Dengan ini, industri pelancongan negara akan dapat digalakkan dan berkembang maju. Kedatangan pelancong ke negara kita akan memberi rahmat dan keuntungan kepada industri hiliran seperti industri kraftangan, pembuatan bahan hiasan dan makanan ringan.

Pada masa yang sama, hubungan silaturahim dalam keluarga akan dapat dirapatkan apabila masyarakat mengadakan rumah terbuka kerana mereka akan saling bekerjasama dan beramah mesra apabila berjumpa. Sememangnya rumah terbuka ialah medan pertemuan yang paling sesuai untuk ahli keluarga yang jauh mahupun dekat. Yang muda akan dapat mengenali mereka yang tua dengan lebih dekat dalam pertemuan ahli keluarga ini. Dengan ini, hubungan kekeluargaan akan dapat diperkukuh dengan lebih erat ibarat kata pepatah “bagai aur dengan tebing”.

Kesimpulannya, majlis rumah terbuka mendatangkan pelbagai manfaat kepada semua. Majlis ini sangat wajar terus dilaksanakan dengan lebih kerap dan tersusun. Perkara yang utama bukanlah banyaknya juadah yang disediakan tetapi keikhlasan untuk mengundang rakan dan taulan. Hubungan silaturahim yang terjalin akan membawa kepada rahmat Yang Maha Kuasa dan seterusnya membina keamanan yang berterusan di negara kita.

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan