Isnin, 6 April 2020

Kepimpinan Melalui Teladan dan Latihan

Tema
Kepahlawanan seorang rakyat mempertahankan negara. Keberanian dan kegagahan Laksamana mempertahankan negeri Melaka dari ancaman penjurit tujuh bersaudara serta Kertala Sari dari Majapahit yang membuat hura hara.  

Persoalan
Persoalan keberanian dalam menegakkan keadilan. 
Persoalan pemimpin mestilah seorang yang bijaksana. 
Persoalan pemimpin yang mengambil berat kesusahan rakyat. 
Persoalan penggunaan ilmu kesaktian dalam kehidupan seseorang. 
Persoalan perasaan dendam membawa akibat buruk. 

Nilai
Nilai keberanian Contoh:Laksamana berani untuk menentang dan membunuh Kertala Sari. 
Nilai tolong-menolong Contoh: Laksamana menawarkan diri untuk mengawal keselamatan negeri Melaka. 
Nilai kebijaksanaan Contoh: Laksamana menggunakan tipu helah untuk mengalahkan Kertala Sari degan berpura-pura tidur di tengah-tengah pasar pada waktu malam. 
Nilai pemurah Contoh: Laksamana membahagi-bahagikan harta yang dihadiahkan oleh saudagar dan orang-orang kaya kepada fakir miskin dan orang-orang bawahannya tanpa mengambil sedikitpun harta itu.

Pengajaran
Kita hendaklah berani menghadapi musuh supaya keselamatan negara akan terjamin. 
Kita hendaklah rasional membuat keputusan agar tidak menyesal pada masa akan datang.
Janganlah kita mempunyai perasaan dendam supaya hidup kita sentiasa bahagia. 
Kita hendalah mengamalkan sikap pemurah agar kehidupan kata sentiasa dirahmati tuhan

Latihan 
Baca petikan prosa tradisonal di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat yang sendiri.

Seketika lagi maka Laksamana pun datang membawa syahwat dan keris Kertala Sari. Maka sembah Bendahara, “Inilah, tuanku pertandaan yang sungguh. Pada bicara patik,jika lain daripada Laksamana,tiada akan dapat membunuh penjurit itu. Jangankan membunuh dia,menentang matanya pun tiada dapat.” Maka segala mereka itu pun masing-masing tunduk kemalu-maluan,lalu kembali.
Maka titah baginda, “Bagaimana tipu Laksamana maka dapat membunuh penjurit itu?”
Maka diceritakannya segala hal-ehwalnya. Maka baginda pun hairan terlalu sukacita. Maka baginda pun memberi anugerah akan Laksamana. Maka sembah Laksamana, “Ya tuanku,baiklah titahkan segala rakyat berangkut segala harta itu.”
Maka titah raja pada Tun Kasturi, “Pergilah Bentara menghadapi orang mengangkut segala harta dan kerahkan segala orang mengangkut harta itu.”
Maka Bentara pun menyembah lalu pergi dengan rakyat mengangkut segala harta itu di Bukit Cina. Maka harta itu pun terlalu banyak. Maka segala harta itu ditimbunkan di halaman balairung itu, tujuh hari tujuh malam berangkut segala harta itu.
                                          Dipetik daripada ‘Kepimpinan Melalui Teladan’
                                                     dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul,
                                                      Dewan Bahasa dan Pustaka

(i) Berikan maksud pertandaan yang sungguh. [2 markah]

Maksud perkataan pertandaan yang sungguh ialah  bukti yang sahih.


(ii) Bendahara telah mengemukakan beberapa sebab yang meyakinkan raja bahawa orang yang sebenarnya membunuh Kertala Sari ialah Laksamana.
Nyatakan sebab-sebab tersebut. [3 markah]

Bendahara telah mengemukakan beberapa sebab yang meyakinkan raja bahawa orang yang sebenarnya membunuh Kertala Sari ialah Laksamana. Hal ini kerana Laksamana datang dengan membawa dua bukti yang sahih dan tepat,iaitu sayhwat dan keris Kertala Sari. Tambahan lagi pahlawan lain berasa gentar serta takut berlawan dengan Kertala Sari dan hanya Laksamana yang berani menentang kehebatan Kertala Sari.


(iii) Sekiranya anda raja,apakah tindakan-tindakan yang akan anda ambil untuk. mengembalikan harta benda rakyat Melaka yang telah dicuri Oleh Kertala Sari itu semula? [3 markah]

Sekiranya saya raja, tindakan-tindakan yang akan saya ambil untuk. mengembalikan harta benda rakyat Melaka yang telah dicuri Oleh Kertala Sari itu semula ialah saya akan menghebahkan berita itu kepada seluruh rakyat yang kehilangan harta benda dan mengumpul rakyat untuk membuat pengecaman harta masing-masing yang telah dicuri. Saya juga akan menubuhkan satu pasukan bagi merekodkan setiap harta yang diambil semula oleh rakyat untuk mengelakkan penipuan serta menasihati rakyat jelata agar tidak mengambil harta orang dan menghukum terhadap rakyat yang menipu tentang pengambilan harta yang dicuri itu.

Ahad, 5 April 2020

Karangan Bahan Rangsangan - Kelebihan belajar ke Pusat Pengajian Tinggi

Rangka Jawapan
Isu
Pendidikan
Frasa kunci soalan
Kelebihan belajar ke pusat pengajian tinggi
Pendahuluan
Kerajaan amat mementingkan rakyat yang berpengetahuan
Huraian
Pelbagai kemudahan disediakan untuk rakyat menyambung pelajaran
Isi 1
Pengiktirafan oleh institusi yang berautoriti
Apa
Dianugerahkan ijazah sebagai bukti tamat pengajian
Bagaimana
Disampaikan dalam majlis graduasi yang gilang-gemilang
Mengapa
Menuntut ilmu hingga ke tahap yang tinggi
Contoh
Majlis Konvokasyen di Universiti Putra Malaysia
Rumusan
Belajar hingga sampai ke menara gading
Isi 2
Menambah ilmu pengetahuan secara mendalam
Apa
Belajar dalam bidang yang kita minati
Bagaimana
Membuat kajian, penyelidikan dan pembentangan
Mengapa
Ilmu yang dipelajari boleh disebarluaskan kepada masyarakat
Contoh
Projek khidmat bakti oleh pelajar universiti
Rumusan
Menjadikan seseorang cekap dalam bidang pengajiannya
Isi 3
Peluang pekerjaan terbuka luas
Apa
Dapat menjawat jawatan yang diidamkan
Bagaimana
Ditawarkan pekerjaan sesuai dengan kelulusan
Mengapa
Bidang pekerjaan yang menawarkan gaji yang lumayan
Contoh
Lulusan perubatan menjadi doktor
Rumusan
Menjanjikan masa depan yang lebih cerah
Penutup
Belajar hingga ke pusat pengajian tinggi menjadikan seseoarang lebih matang berfikir
Ungkapan menarik
Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China



Contoh jawapan pelajar Kelas 5C yang telah saya edit dan salin semula


Kerajaan Malaysia amat mementingkan ilmu pengetahuan dan menyeru rakyat agar menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Kerajaan  menyediakan pelbagai biasiswa untuk pelajar yang cemerlang dan juga golongan berpendapatan rendah supaya diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di institut-institut pengajian tinggi awam (IPTA) Malaysia. Sememangnya, banyak kelebihan yang kita perolehi apabila melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Pelajar yang belajar ke pusat pengajian tinggi akan dianugerahkan ijazah sebagai bukti tamat pengajian dalam bidang yang dipelajarinya. Kebiasaannya prnyampaian ijazah ini dilaksanakan dalam majlis graduasi yang gilang-gemilang, contohnya Majlis Konvokasyen di Universiti Putra Malaysia. Waktu ini, ibu bapa dan penjaga pelajar akan dijemput bagi menyaksikan kejayaan anak-anak mereka. Mereka pasti bangga dengan kejayaan anak mereka memperolehi ijazah dan belajar hingga ke menara gading.

Pada masa yang sama, apabila belajar ke pusat pengajian tinggi, secara tidak langsung pelajar dapat peluang untuk menambang pengetahuan secara mendalam. Peluang menyambung pelajaran ke pusat pengajiaan tinggi bukannnya mudah diperolehi. Pelajar dapat peluang untuk membuat kajian, penyelidikan dan pembentangan dalam bidang yang mereka minati. Ilmu yang dipelajari itu dapat disebarluaskan kepada rakyat, contohnya melalui Program Khidmat Bakti yang dianjurkan oleh persatuan pelajar universiti  di kampung-kampung. Jelasnya,dengan belajar ke pusat pengajian tinggi, seseorang itu akan menjadi cekap dalam bidang pengajian yang diminatinya.

Kejayaan menggenggam segulung ijazah membolehkan mahasiswa universiti mempunyai peluang pekerjaan yang terbuka luas. Mereka boleh memohon jawatan dalam bidang perkhidmatan awam mahu pun swasta dan dapat menjawat jawatan yang diidamkan. Keadaan ini wujud kerana sebagai seorang mahasiswa mereka akan ditawarkan pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan serta mendapat gaji yang lumayan. Lulusan perubatan contohnya, akan ditawarkan sebagai pegawai perubatan di hospital kerajaan. Jelasnya, apabila belajar ke pusat pengajian tinggi masa depan seseorang itu menjadi lebih cerah terutama dalam bidang kerjayanya. 

Konklusinya, banyak faedah yang boleh kita dapati melalui kejayaan melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Kita haruslah menyambut hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi baru yang berilmu pengetahuan dan mampu membantu membangunkan negara menjadi sebuah negara maju pada masa hadapan. .Belajar hingga ke pusat pengajian tinggi menjadikan seseorang itu lebih matang berfikir sejajar dengan kata-kata pujangga tuntutlah ilmu sampai ke negeri China.

Sabtu, 4 April 2020

Menukar Cakap Pindah Kepada Cakap Ajuk dan Latihan

Cakap ajuk boleh ditulis dalam dua cara:
(a) Ayat bentuk dialog dengan pengunaan tanda pengikat kata ("...").

(b) Ayat bentuk dialog yang tersusun mengikut turutan penutur. Nama penutur ditulis pada sebelah kiri sahaja. Tidak perlu tanda pengikat kata.

1. Anda perlu menukarkan kata ganti diri, masa dan tempat kepada bentuk kata diri ganti yang sesuai dalam ayat. Kata ganti diti "dia" ditukar menjadi "saya", "aku" menjadi nama seseorang, "mereka" menjadi "kami", "disana,disitu" menjadi "disini", "masa itu" menjadi "masa ini".

2. Pastikan tidak ada isi yang ditambah atau yang ditinggalkan ketika menukarkan dialog.

3. Anda perlu menulis tanda soal (?), dan tanda seru (!) dalam ayat yang ditukar. Frasa kata seru hendaklah ditukar dengan kata seru yang sesuai seperti "wah", "memuji ", "Aduh", "menyatakan sakit atau mengaduh" dan sebagainya.

4. Pengunaan kata singkatan boleh digunakan seperti "nak" untuk "hendak", "mak" untuk "emak", "dah" untuk "sudah", "mau" untuk "mahu".

5. Perkataan bahasa Arab seperti alhamdulillah, astaufirrullah, lahaulawala kuwataila dan sebagainya boleh digunakan. Sebagai contoh, "alhamdulillah" bagi "mengucap syukur", lahaulawala kuwatailla" bagi "mengucap panjang".

6. Unsur-unsur slanga dan dialek boleh digunakan. Sebagai contoh "jom" untuk "mengajak", "satsat" untuk "sebentar", "bergebang" untuk "berbual kosong".

7 Anda boleh menambah imbuhan pada kata-kata yang sesuai agar menjadi ayat yang lengkap.

8. Jangan mencampuradukkan bentuk cakap pindah dan cakap ajuk sekali gus. Elakkan kesalahan tatabahasa, tanda baca, ejaan dan penggunaan kata.

9. Jangan mengubah maksud dan struktur ayat asal.


Soalan Latihan

Tukarkan cakap pindah di bawah kepada cakap ajuk dengan mengekalkan maksud asalnya. Gunakan bahasa yang gramatis.

Amir menerangkan kepada Hazmi bahawa giginya sakit sejak semalamnya. Hazmi menyuruh Amir bersegera ke klinik gigi. Amir memberitahu bahawa dia takut sekira giginya dicabut. Hazmi menjelaskan kepada Amir agar tidak takut giginya akan dicabut kerana sekiranya kerosakan giginya besar sahaja barulah akan dicabut. Amir bertanya kepada Hazmi jika ada cara lain. Amir memberitahu sekiranya akar gigi Amir masih kuat doktor hanya menampal lubang pada gigi Amir. Amir berseruju untuk ke klinik gigi pada masa itu juga.


Jawapan


"Gigi aku sakit sejak semalam," terang Amir kepada Hazmi.
"Baik kamu cepat ke klinik gigi," beritahu Hazmi.
"Aku takutlah, nanti gigi aku kena cabut," balas Amir.
"Alah, kamu jangan takut, kalau rosak besar barulah dicabut," jelas Hazmi.
"Selain kena cabut, ada tak cara lain?" tanya Amir.
"Kalau akar gigi kamu masih kuat doktor tidak cabut tetapi dia hanya tampal lubang pada gigi kamu sahaja," beritahu Hazmi,
"Jika begitu, biarlah aku ke klinik gigi sekarang," jawab Amir.

Jumaat, 3 April 2020

Menukar Cakap Ajuk Kepada Cakap Pindah dan Latihan

1. Anda perlu menukarkan kata ganti diri,masa,dan tempat kepada bentuk kata diri ganti yang sesuai dalam dialog. Kata ganti diri "saya"ditukar menjadi "dia","kami"menjadi "mereka","di sini"menjadi "di sana","masa ini"menjadi "masa itu".

2. Pastikan tidak ada isi yang ditambah atau yang ditinggalkan ketika menukarkan perbualan.

3. Kata seru (!) seperti cis, amboi, aduh dan sebagainya hendaklah ditukar menjadi frasa mengikut konteks ayat. Ccontoh: "Cis"- dengan marah,"Eh"- dengan hairan,"Aduh"- sambil mengerang kesakitan.

4. Struktur ayat perlu betul, pengolahan hendaklah baik mengikut susunan teks asal dan lancar.

5. Ayat perintah ditukat kepada frasa yang sesuai. Contoh: "Jangan" - melarang, "Sila masuk" - menjemput.

6. Penggunaan kata singkatan mesti ditukar kepada perkataan yang lengkap seperti "nak" menjadi "hendak", "mak" menjadi "emak", "dah" menjadi "sudah", "mau" menjadi "mahu".

7. Perkataan bahasa Arab seperti "alhamdulillah" ditukar kepada maksud ayat, iaitu "mengucap syukur".

8. Unsur-unsur slanga dan dialek hendaklah dibuang dan ditukar kepada bahasa baku, contohnya "jom" menjadi "mengajak", "satsat" menjadi "sebentar" dan "bergebang" menjadi "berbual kosong".

9. Jangan mencampuradukkan bentuk cakap ajuk dan cakap pindah sekali gus.

10. Elakkan kesalahan tatabahasa, tanda baca, ejaan dan penggunaan kata.



Latihan

Tukarkan petikan berikut ke dalam bentuk karangan biasa menggunakan cakap pindah.

Asmadi: Bila kaupulang dari luar negeri?
Maria: Dah seminggu dah, kau macam mana. Masih tinggal di kampung ni ke?
Asmadi: Begitulah, Maria, aku ni tak pandai macam kau. Jadi tempat aku di sini sajalah.
Maria: Tak apalah, Madi. Di mana-mana pun ada rezeki asalkan kita rajin. Lagipun aku dengar kau dah ada perniagaan sendiri sekarang.
Asmadi: Aku setuju dengan pandangan kau tu. Perniagaan aku tu, kecil-kecilan saja.
Maria: Baguslah, walaupun kecil aku bangga dengan usaha kau.
Asmadi: Terima kasih.



Skema Jawapan

Asamadi menanyakan Maria tentang kepulangannya dari luar negera. Maria menjelaskan bahawa sudah seminggu dia pulang. Maria seterusnya menanyakan khabar Asmadi serta ingin penjelasan sama ada dia masih tinggal di kampung itu atau tidak. Asmadi mengiakan sahaja pertanyaan Maria sambil dengan rendah diri mengakui bahawa dia tidak pandai seperti Maria, justeru kampunglah menjadi tempat tinggalnya. Walau bagaimanapun Maria memujuk Asmadi dengan mengatakan bahawa rezeki ada di mana-mana sahaja asalkan mereka rajin. Maria juga menjelaskan bahawa dia tahu yang Asmadi kini telah mempunyai perniagaannya sendiri. Asmadi bersetuju dengan pendapat Maria itu dan menyatakan bahawa perniagaannya hanya secara kecil-kecilan. Maria memuji usaha Asmadi walaupun perniagaan cuma kecil-kecilan. Asmadi membalas pujian Maria dengan mengucapkan terima kasih.