Rabu, 18 November 2020

TEMA DAN PERSOALAN DALAM NOVEL JENDELA MENGHADAP JALAN

 

Tema

Kecekalan seorang gadis dalam menempuh berbagai-bagai ujian dan rintangan.

Semasa berada di Kampung Sentosa, Lili tidak pernah menghubungi ibunya di kuala Lumpur untuk mengadu masalah.

Dia berusaha   sedaya upaya menempuh ujian dengan semangat yang kental.

Walaupun pernah ditahan, dikurung dan diikat oleh Rafiq di sebuah pondok buruk, peristiwa itu tidak mematahkan semangatnya.

Peristiwa itu menguatkan lagi keinginannya untuk mengikuti perkembangan diri Rafiq dan seterusnya cuba membantu.

Lili cekal mengikuti perkembangan kisah jendela rumah di kampung itu  yang menghadap jalan.
 
 
 Persoalan

1. Persoalan Masalah Kepincangan Rumah Tangga seperti yang dihadapi oleh Che Jah dengan suaminya, Seman yang selalu memukul anak-anak serta menderanya. Seman suami Che Jah seorang yang suka berjudi, berhutang dan minum arak telah menyebabkan rumah tangga Che Jah berantakan. Anak-anaknya Haziq dan Rafiq yang baru belasan tahun turut berperangai seperti ayahnya apabila tersalah memilih kawan. Che Jah meminta cerai daripada suaminya kerana sudah tidak tahan dengan perangai suaminya.


2. Persoalan Keagamaan – Dalam perjuangan membina kubah surau di kampung dalam menegakkan syiar Islam. Penduduk sanggup menolak peruntukan dari Yang Berhormat untuk membina sebuah balai raya tetapi bersetuju untuk membina kubah surau bagi tujuan keagamaan.


3. Persoalan Persahabatan – Persahabatan antara Lili dengan Geetha yang begitu akrab walaupun berlainan agama dan bangsa.


4. Persoalan Perpaduan Antara Kaum – Perpaduan kaum menjadi baik seperti adanya hubungan kemesraan yang terjalin antara masyarakat Melayu, Cina dan India. Mereka hidup aman damai tanpa perbalahan, malah hubungan kaum ini begitu rapat antara keluarga Geetha dan Lili. Geetha pernah bermalam di rumah Lili kerana hubungan yang sangat mesra dan rapat.


5. Persoalan Menuntut Ilmu Pengetahuan – Geetha merupakan seorang mahasiswa yang rajin menuntut ilmu, juga merupakan seorang pelajar tahun satu Jurusan Kejuteraan Awam, Universiti Malaya, begitu juga Lili yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.


6. Persoalan Golongan Muda Yang Terjebak Masalah Dadah – Haziq dan Rafiq yang terjerumus ke dalam kancah ketagihan dadah akibat masalah keluarga yang dihadapi. Tertekan dengan masalah keluarga kerana ayahnya Seman begitu garang dan sering memukul anak-anaknya sehingga menyebabkan hidup mereka tertekan. Mereka mengambil jalan mudah dengan melibatkan diri dalam kancah ketagihan dadah.


7. Persoalan Hubungan Kekeluargaan Antara Anak dan Ibu Bapa – Ibu Lili tidak berminat untuk menghabiskan masanya di kampung, tetapi menghantar Lili ke kampung sepanjang cuti persekolahan. Ibu Lili melanjutkan pelajaran keluar negara, terdedah dengan dunia Barat sehingga mengganggap kampung terlalu jumud.  Ibu Lili juga terlalu jarang pulang ke kampung untuk menjenguk kedua-dua ibu bapanya, menyebabkan hubungannya menjadi renggang.


8. Persoalan Hubungan Manusia Dengan Alam Sekitar – Hubungan antara manusia dengan alam sekitar seperti datuk sangat mengambil berat tentang herba-herba yang banyak memberi jasa kepadanya. Datuk mengenali semua herba yang boleh dijadikan ubat-ubatan. Datuk sering disindir oleh nenek akibat terlalu prihatin dan membantu penduduk kampung yang bermasalah kesihatan dengan membekalkan ubat tradisional yang dibuatnya sendiri. Ada satu ketika datuk tidak pulang ke rumah hingga menyebabkan nenek berasa risau kerana datuk masuk ke hutan mencari akar-akar kayu tanpa pengetahuannya.


9. Persoalan Suka Fitnah Memfitnah Dalam Masyarakat – Masyarakat Melayu yang suka membuat fitnah antara satu sama lain, yang menyebabkan keretakan dalam masyarakat akhirnya membawa perpecahan. Cerita kubah dilarikan orang oleh beberapa wanita mengesyaki angkara ini sudah pasti dilakukan oleh anak-anak Che Jah yang telah terkenal dengan kejahatan lampaunya. Lili menenangkan keadaan dan meminta agar mereka tidak membuat tuduhan melulu yang tiada kepastiannya.


10. Persoalan tentang sikap prihatin - Lili begitu prihatin dengan Che Jah yang mengalami keganasan rumah tangga. Walaupun Haziq dan Rafiq menculiknya tetapi Lili memaafkan tindakan mereka kerana beranggapan keluarga tersebut memerlukan bantuan pemulihan. Lili sering ke rumah Che Jah untuk memberikan motivasi dan akhirnya meminta bantuan Puan Hamimah seorang kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membuat aduan tentang sikap suaminya yang buruk selama ini.


11. Persoalan tentang masalah sosial penduduk kampung - Hidup di kampung walaupun berada dalam keadaan selesa, nyaman dengan pemandangan yang cantik namun terdapat pelbagai masalah sosial. Penduduk kampung didatangi oleh orang yang tidak bertanggungjawab untuk menjual tanah-tanah mereka. Penduduk kampung juga memberontak untuk lebih menyetujui penggantian kubah surau berbanding pembinaan masjid baru. Penduduk kampung juga berhadapan dengan masalah sosial apabila wujudnya keganasan rumah tangga yang dihadapi oleh Che Jah akan sikap suaminya yang kurang bertanggungjawab diikuti kelakuan anak-anaknya Haziq dan Rafiq yang tersalah memilih kawan.
 
 
 

Latihan Novel

Anda telah membaca sebuah novel. Bincangkan tema novel tersebut (7 markah).

Novel yang saya baca ialah Jendela Menghadap jalan karya Ruhaini Matdarin. Tema novel ini ialah kecekalan seorang gadis __________________________________.

Lili cekal menyelesaikan ________________________ yang dihadapi oleh penduduk ________________, iaitu kampung datuk dan neneknya. Mereka ingin meletakkan sebuah _______________ di atas bumbung surau yang usang sedangkan mereka boleh membina sebuah _________________ baharu.

Lili juga cekal menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Che Jah dan anak-anaknya. Mereka _______________ oleh suami Che Jah iaitu _________________, seorang lelaki yang tidak bertanggungjawab. Dia seorang yang panas baran, kaki judi, dan pemabuk.

Ahad, 15 November 2020

AYAT DASAR BAHASA MELAYU

 Assalamualaikum pelajar sekalian.Hari ini kita akan belajar tentang Ayat Dasar Bahasa Melayu. Selepas membaca penerangan ini, sila jawab latihan yang diberi.

1. Ayat dasar ialah ayat yang menjadi dasar atau sumber bagi pembentukan semua ayat lain dalam sesuatu bahasa.

2. Walaupun terdapat berbagai-bagai jenis ayat dari segi binaan dan susunannya, asas binaannya terdiri daripada beberapa pola tertentu, yang disebut pola ayat dasar sesuatu bahasa.

3. Daripada pola itulah terbit ayat yang lain , sama ada ayat tunggal atau ayat majmuk, ayat pendek atau ayat panjang, ayat aktif atau ayat pasif dan sebagainya.

4. Dalam bahasa Melayu, pola ayat dasar boleh dibahagikan kepada empat jenis dengan berpandu kepada jenis-jenis binaan subjek dan predikatnya.

i.  Frasa Nama + Frasa Nama
    FN FN
    Contoh: Encik Baihaqi (FN) seorang guru (FN)

ii. Frasa Nama + Frasa Kerja
    FN FK
   Contoh: Aniza(FN) membaca buku (FK)

iii. Frasa Nama + Frasa Adjektif
     FN FK
     Contoh: Rumah Intan (FN) besar (FA)

iv. Frasa Nama + Frasa Sendi Nama
     FN FS
     Contoh: Dia (FN) dari Jitra (FS)
 
 
latihan
 
Buka muka surat 128 Buku Latihan Aktiviti. Jawab soalan praktis SPM 6 - Menganalisis Ayat





Rabu, 11 November 2020

KARANGAN DOMAIN AWAM

Tulis sebuah karangan yang panjangnya tidak kurang daripada 350 patah perkataan tentang tajuk di bawah.


Dalam masyarakat berasaskan sains dan teknologi seperti di Malaysia, kehadiran sastera sangat bererti. Tanpa sastera, masyarakat maju kehilangan unsur penting kehidupannya. Hakikat ini ditegaskan oleh John Naisbitt, melalui bukunya yang bertajuk High Tech High Touch, mengatakan bahawa ada teknologi (high tech) yang memabukkan manusia kerana mencengkam semangat manusia dan meningkatkan pencarian manusia tentang makna atau kepastian. Hasilnya, manusia berada dalam keadaan yang kompleks, dan sering pula terperangkap dengan hubungan yang bersifat paradoksikal antara teknologi dengan usaha mencari makna.

                            Sumber: Borneo Post, 22 Jun 2011

 

Petikan akhbar di atas menyatakan karya sastera memainkan peranan yang penting dalam perkembangan sesebuah masyarakat. 

Berdasarkan masyarakat dalam  negara Malaysia, tulis sebuah rencana tentang peranan  sastera  dalam perkembangan  masyarakat Malaysia.

Tulis rencana anda selengkapnya. 



5                Pendahuluan
Karya sastera memainkan peranan penting perkembangan sesebuah masyarakat – bentuk sastera terbahagi kepada dua iaitu sastera lisan dan sastera tulisan – kedua-duanya penting 

             Isi-isi Penting
(a)    Menerapkan unsur-unsur pengajaran – terbina secara tidak langsung daripada cerita – membentuk masyarakat yang berilmu dan matang emosi
(b)    Membangkitkan semangat cinta akan negara – karya sastera memaparkan tokoh-tokoh kemerdekaan – sastera tradisi yang memaparkan tokoh yang mempunyai semangat patriotik yang tinggi dan taat kepada pemimpin seperti Hikayat Hang tuah
(c)    Kritikan sosial kepada pemimpin – disampaikan melalui perlambangan dan puisi – isu-isu sosial dibincangkan dengan sindiran
(d)    Membina kematangan berfikir dan meluaskan pengalaman – membolehkan pembaca berfikir peristiwa seterusnya dalam karya sastera – pengalaman penulis dipindahkan kepada pembaca – mematangkan generasi muda
(e)    Keindahan bahasa dan khazanah  budaya terjaga – disampaikan dan direkodkan dalam bentuk penulisan penubuhan – pembaca mengetahui perkembangan bahasa dan budaya – membina keyakinan terhadap bahasa


Penutup
       Karya sastera mempunyai peranan penting dalam masyarakat – perlu digiatkan usaha-usaha penulisan – “tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan” – melambangkan realiti kehidupan masyarakat

Khamis, 18 Jun 2020

Kata Nama Am

1. Kata nama am merupakan perkataan yang merujuk kepada orang, binatang, benda atau tempat secara am atau secara umum.

2. Kata nama am terbahagi kepada dua jenis, iaitu:
a. Kata nama am abstrak
b. Kata nama am konkrit

a. Kata nama am abstrak merupakan nama sesuatu yang hanya dibayangkan sebagai ada dalam fikiran atau khayalan, misalnya:

mimpi, diktator, kehendak
sengsara, idaman, perhimpunan


b. Kata nama am konkrit merupakan nama sesuatu yang dapat dilihat atau dapat dipegang dan dapat dirasaken kewujudannnya, misalnya:

danau, guru, awan
kucing, titi, asap

3. Berikut diberikan beberapa contoh penggunaan kata nama am dalam ayat;

i. Kereta itu berwarna hitam.

ii. Ular itu sedang membelit mangsanya.

iii. Pelajar itu sedang mengulankaji pelajaran.

iv. Bapa Ahmad bersolat di surau.

Isnin, 15 Jun 2020

Kata Nama

Kata nama ialah sejumlah perkataan yang merujuk benda, perkara atau konsep yang umum sifatnya.

Kata nama dapat dibahagi kepada tiga golongan :
1.kata nama khas
2.kata nama am
3.kata ganti nama

Kata nama khas merujuk orang ,haiwan,benda perbadanan atau institusi,bahasa dan seumpamanya . Huruf pertama kata nama khas ditulis dengan huruf besar, contohnya Ramasamy,Sang Harimau,dan Selangor Darul Ehsan.

Kata nama am ialah perkataaan yang merujuk perkara yang umum, contohnya polis,kucing,sekolah,harimau dan kereta.

Kata ganti nama; Rujuk entri  berikutnya.

Khamis, 11 Jun 2020

Kata Nama Khas

1. Kata nama khas merujuk kepada nama sesuatu benda yang khusus.

2. Kata nama terbahagi kepada dua jenis, iaitu:
a. Kata nama khas hidup
b. Kata nama khas tak hidup

3. Kata nama khas hidup pula terbahagi dua, iaitu kata nama khas hidup manusia dan bukan manusia.

a. Kata nama khas hidup

i. Kata nama khas hidup manusia, contohnya Azizul, Rahman, Tun Abdul Razak dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi

ii. Kata nama khas bukan manusia, contohnya Sang bedal, Comel, Habiscus Rosa Sinensis (Bunga Raya)

b. Kata nama khas tak hidup, contohnya Proton Wira, Tatabahasa Dewan, Tanjung Dawai dan Wisma Darulaman

4. Berikut beberapa contoh penggunaan kata nama khas dalam ayat:

i. Baju John Master itu mahal harganya.

ii. Sang Kancil berjaya memperdaya harimau dalam cerita itu.

iii. Ahmad suka bermain bola sepak.

iv. Pulau Pinang dikenali juga sebagai Pulau Mutiara.

Isnin, 8 Jun 2020

Ayat Dasar Bahasa Melayu

1. Ayat dasar ialah ayat yang menjadi dasar atau sumber bagi pembentukan semua ayat lain dalam sesuatu bahasa.

2. Walaupun terdapat berbagai-bagai jenis ayat dari segi binaan dan susunannya, asas binaannya terdiri daripada beberapa pola tertentu, yang disebut pola ayat dasar sesuatu bahasa.

3. Daripada pola itulah terbit ayat yang lain , sama ada ayat tunggal atau ayat majmuk, ayat pendek atau ayat panjang, ayat aktif atau ayat pasif dan sebagainya.

4. Dalam bahasa Melayu, pola ayat dasar boleh dibahagikan kepada empat jenis dengan berpandu kepada jenis-jenis binaan subjek dan predikatnya.

i.  Frasa Nama + Frasa Nama
    FN FN
    Contoh: Encik Baihaqi (FN) seorang guru (FN)

ii. Frasa Nama + Frasa Kerja
    FN FK
   Contoh: Aniza (FN) membaca buku (FK)

iii. Frasa Nama + Frasa Adjektif
     FN FK
     Contoh: Rumah Intan (FN) besar (FA)

iv. Frasa Nama + Frasa Sendi Nama
     FN FS
     Contoh: Dia (FN) dari Jitra (FN)