Ahad, 31 Januari 2021

KATA NAMA

 Kata nama terbahagi kepada 3, iaitu:

1. Kata Nama Am

2. kata Nama Khas

3. kata Ganti Nama

Kata Nama Am

1. Kata nama am merupakan perkataan yang merujuk kepada orang, binatang, benda atau tempat secara am atau secara umum.

2. Kata nama am terbahagi kepada dua jenis, iaitu:
a. Kata nama am abstrak
b. Kata nama am konkrit

a. Kata nama am abstrak merupakan nama sesuatu yang hanya dibayangkan sebagai ada dalam fikiran atau khayalan, misalnya:

mimpi, diktator, kehendak
sengsara, idaman, perhimpunan


b. Kata nama am konkrit merupakan nama sesuatu yang dapat dilihat atau dapat dipegang dan dapat dirasaken kewujudannnya, misalnya:

danau, guru, awan
kucing, titi, asap

3. Berikut diberikan beberapa contoh penggunaan kata nama am dalam ayat;

i. Kereta itu berwarna hitam.

ii. Ular itu sedang membelit mangsanya.

iii. Pelajar itu sedang mengulankaji pelajaran.

iv. Bapa Ahmad bersolat di surau.


Kata Nama Khas

1. Kata nama khas merujuk kepada nama sesuatu benda yang khusus.

2. Kata nama terbahagi kepada dua jenis, iaitu:
a. Kata nama khas hidup
b. Kata nama khas tak hidup

3. Kata nama khas hidup pula terbahagi dua, iaitu kata nama khas hidup manusia dan bukan manusia.

a. Kata nama khas hidup

i. Kata nama khas hidup manusia, contohnya Azizul, Rahman, Tun Abdul Razak dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi

ii. Kata nama khas bukan manusia, contohnya Sang bedal, Comel, Habiscus Rosa Sinensis (Bunga Raya)

b. Kata nama khas tak hidup, contohnya Proton Wira, Tatabahasa Dewan, Tanjung Dawai dan Wisma Darulaman

4. Berikut beberapa contoh penggunaan kata nama khas dalam ayat:

i. Baju John Master itu mahal harganya.

ii. Sang Kancil berjaya memperdaya harimau dalam cerita itu.

iii. Ahmad suka bermain bola sepak.

iv. Pulau Pinang dikenali juga sebagai Pulau Mutiara

 

 Kata Ganti Nama

Mengikut pandangan Prof. Abdullah Hassan (2002), kata ganti nama adalah kata yang berfungsi untuk menggantikan tempat kata nama atau kata sebagai pengganti kepada sesuatu kata nama. Kata ganti nama boleh dibahagikan kepada empat golongan, iaitu kata ganti nama diri, kata ganti nama tunjuk, kata ganti nama tanya dan ganti nama tak tentu. Ada masanya kita tidak mahu menyebut nama sebenar orang atau benda itu. Kita boleh menggunakan perkataan lain. Perkataan lain itu disebut sebagai ganti nama.

Contoh:
1.      a. En. Arif hendak ke mana? (nama sebenar)
     b. Awak hendak ke mana? (ganti nama)

2.      a. Cikgu Rohana ada di bilik guru. (nama sebenar)
     b. Beliau ada di bilik guru. (ganti nama)

3.      a. Buluh ialah sejenis rumput. Tetapi orang selalu menyangka ia adalah sejenis pokok. 
            (buluh = nama sebenar; ia = ganti nama)  


Ganti nama boleh dibahagikan kepada beberapa jenis :

a.       Ganti Nama Diri
b.      Ganti Nama Umum
c.       Ganti Nama Tanya
d.      Ganti Nama Tunjuk


     Ganti Nama Diri
     Ganti nama diri digunakan apabila kita tidak mahu menyebut nama sebenar orang itu. Terdapat tiga jenis ganti nama diri.
a.       Orang Pertama
b.      Orang Kedua

c.       Orang Ketiga

      Ganti Nama Diri Orang Pertama
      Sekiranya kita bercakap. Kita menyebut diri sendiri sebagai orang pertama. Sekiranya kita tidak mahu menyebut nama kita sendiri semasa kita bercakap, kita boleh menggunakan perkataan lain.

      Perkataan-perkataan itu disebut ganti nama diri orang pertama, iaitu:
a.       Saya (bahasa halus)
b.      Aku (bahasa basahan)
c.       Beta (bahasa istana)
d.      Kita (ramai)
e.       Kami (ramai)
f.       Ku (bentuk pendek)

     Ganti Nama Diri Orang Kedua
      Sekiranya kita bercakap dengan orang lain, orang itu kita menyebut orang kedua. Sekiranya kita tidak mahu menyebut nama sebenar orang itu, kita boleh menggunakan perkataan lain. Perkataan-perkataan itu ialah:

a.       Awak (bahasa basahan)
b.      Kamu (bahasa basahan)
c.       Anda (bahasa rasmi)
d.      Engkau (bahasa basahan)
e.       Kau (bentuk pendek)
f.       Kalian (ramai)

Ganti Nama Diri Orang Kedua
      Sekiranya dua orang bercakap-cakap tentang orang lain, orang lain itu disebut orang ketiga. Sekiranya kita tidak mahu menyebut nama sebenar orang itu, kita boleh menggunakan perkataan lain. Perkataan-perkataan itu ialah:

a.       Dia (bahasa basahan)
b.      Ia (untuk bukan manusia)
c.       Beliau (bahasa rasmi)
d.      Mereka (bahasa rasmi)
e.       Nya (bentuk pendek)
f.       Baginda (bahasa istana)

Ganti Nama Umum
      Apabila kita bercakap tentang apa-apa benda ataupun perkara dan kita tidak mahu menyebut nama sebenar benda itu, kita boleh menggunakan perkataan lain. Perkataan itu disebut ganti nama umum.

     Ganti nama umum ialah:
a.       Apa
b.      Anu
c.       Bila
d.      Mana
e.       Siapa
f.       Bagaimana
g.      Ia
h.      Nya

      Contoh Ayat:
1.      Saya tahu apa (masakan) yang digemari oleh ayah.
2.      Mana anunya (benda).
3.      Ambil mana (benda) yang kamu suka.
4.      Siapa (orang) yang makan nangka, dialah yang kena getahnya.
5.      Beritahu bila (masa) dia datang.
6.      Bagaimana kamu hendak memanjat pokok itu.
7.   Virus AIDS sangat berbahaya. Ia mudah menjangkit.

 Ganti Nama Tanya
      Apabila kita bertanya tentang apa-apa benda atau orang, kalau kita tidak mahu menyebut nama sebenar benda itu atau orang itu, kita boleh menggunakan perkataan-perkataan lain.

      Ganti nama tanya berfungsi membuat pertanyaan. Ganti nama tanya ialah:
a.       Apa
b.      Siapa
c.       Bila
d.      Bagaimana
e.       Kenapa
f.       Mengapa
g.      Dari mana
h.      Ke mana
i.        Berapa
j.        Mana

   Ganti Nama Tunjuk
 Sekiranya kita menunjuk pada suatu benda tetapi kita tidak mahu menyebut nama benda itu,
 kita boleh menggunakan perkataan lain. Perkataan itu disebut ganti nama tunjuk. Hanya ada dua
 ganti nama tunjuk iaitu ini dan itu

 Contoh ayat:
1.      Walaupun dia tidak minat pada muzik, itu hak dia.
2.      Mengapakah ini yang kamu pilih?

Isnin, 25 Januari 2021

JENIS-JENIS PENDAHULUAN KARANGAN

 Assalamualaikum,

Cukgu harap semua anak murid cikgu sihat dan bersedia untuk mengikuti kelas pagi ini.

Hari ini kita akan belajar tentang  pendahuluan karangan. Untuk itu, cikgu harap murid-murid dapat meneliti dan membaca jenis-jenis pendahuluan yang boleh dibina untuk menghasilkan karangan.

Langkah Menulis Pendahuluan

1.       Penting ditulis dengan sempurna kerana pemeriksa akan membuat penilaian awal pemahaman anda terhadap soalan yang dijawab.

2.       Pendahuluan yang ditulis dapat menggambarkan perkara yang anda tulis dalam karangan anda.

3.       Pendahuluan yang sempurna dapat menarik perhatian pemeriksa.

4.       Pendahuluan ditulis sekadar pengenalan kepada soalan. Oleh itu, jangan ditulis terperinci dan terlalu panjang.

5.       Terdapat sepuluh jenis pendahuluan yang boleh dipilih oleh calon. Pilih jenis pendahulan yang sesuai dengan soalan yang dikemukakan.

 

Pendahuluan Jenis Suasana

(Isu: Remaja Melepak)

Apabila kita berada dalam kompleks beli belah, kita akan terpandang beberapa kumpulan remaja yang berbual-bual sambil bersiul dan memandang setiap indivudu yang lalu-lalang di hadapannya. Mereka begitu selesa dan tidak mempedulikan pandangan orang lain terhadap mereka. Kumpulan remaja yang sedang melepak ini tidak melakukan sebarang aktiviti melainkan bersembang dan mengganggu pelanggan terutama remaja perempuan. Perbuatan mereka ini memberikan pandangan yang tidak elok tentang imej negara kita yang dianggap masih tebal dengan nilai-nilai ketimuran.

 

 

# Pendahuluan Jenis Persoalan

(Isu: Penagihan Dadah)

Isu penagihan dadah seperti tiada penamatnya. Hampir setiap hari terdapat penagih yang ditangkap dan dibicarakan di mahkamah. Mengapakah masalah ini masih berterusan? Apakah pihak yang berkuasa gagal melaksanakan tugas pencegahan? Bagaimana dengan ibu bapa? Bagaimana dengan guru-guru dan pihak sekolah? Sesungguhnya, isu penagihan dadah ini perlu ditangani secara berhemah dan bijaksana, laksana menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung pula tidak berselerak.

 

Pendahuluan Jenis Definisi

(Isu: Gejala Rasuah)

Rasuah merujuk kepada perbuatan memberi dan menerima habuan yang membolehkan satu-satu pihak mendapat keistimewaan. Rasuah merupakan satu kesalahan undang-undang yang serius dan boleh membawa kepada kehancuran sesebuah masyarakat. Istilah “tumbuk rusuk”, “duit kopi” dan “tip” membawa maksud sama dengan rasuah yang perlu dibendung dan dikekang sepenuhnya demi kesejahteraan masyarakat dan negara.

 

Pendahuluan Jenis Sejarah

(Isu: Penubuhan Malaysia)

Tanggal 1 September merupakan tarikh keramat bagi Malaysia. Pada tarikh ini penubuhan Malaysia telah termateri dengan gabungan Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Walaupun, Singapura telah keluar, gabungan persekutuan ini masih utuh dan jitu. Pemerintah dan rakyat dari ketiga-tiga gabungan ini sentiasa hidup harmoni dan saling bersefahaman demi kemajuan dan keamanan yang bakal dinikmati bersama-sama. Sesungguhnya, penubuhan Malaysia memberi keuntungan yang tidak terhingga kepada rakyat dan kini kemakmuran dan kekayaan negara memberi kemakmuran kepada rakyat Malaysia.

 

Pendahuluan Jenis Peribahasa

(Isu: Kerjasama)

Masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu kaya dengan peribahasa. Antara peribahasa yang menekankan aspek kerjasama termasuklah "Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni", "Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah" dan "Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing". Semua peribahasa yang dinyatakan itu sebenarnya membawa konsep kerjasama yang masih diamalkan dalam masyarakat. Konsep ini perlu diamalkan sepanjang masa kerana kerjasama menjadi asas kemajuan yang kita nikmati pada hari ini.

 

Pendahuluan Jenis Puisi/Seni Kata Lagu

(Isu: Pengorbanan Ibu)

Ibu, Ibu,

Engkaulah ratu hatiku

Bila kuberduka

Engkau hiburkan selalu

 

Ibu, Ibu,

Engkaulah ratu hatiku

Seni kata lagu yang dinyanyikan oleh Allahyarham P. Ramlee di atas menggambarkan besarnya pengorbanan ibu yang melahirkan dan membesarkan kita di dunia ini. Seorang ibu sentiasa mengingati anaknya walau di mana dia berada. Bagi seorang ibu, anak lebih utama dan sentiasa mendahulukan anaknya dalam segala urusan.

 

Pendahuluan Jenis gabungan

(Isu: Gejala Buli)

                Buli bermaksud perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan atau maksud untuk menunjukkan kekuatan dan kekuasaan. Tindakan ini  menjadikan mereka yang lemah mematuhi atau menghormati mereka yang kuat. Pada peringkat yang lebih teruk, gejala buli melibatkan tingkah laku agresif sama ada dalam bentuk fizikal atau psikologikal yang dilakukan secara berulang kali ke atas mangsa dengan  bertujuan mendatangkan perasaan tidak selesa, aman, tenteram dan harmoni. Secara keseluruhannya, perbuatan membuli merupakan perbuatan yang tidak baik serta boleh membuatkan orang lain menjadi mangsa serta  mendatangkan ketidakselesaan kepada orang lain.