Isnin, 25 Januari 2021

JENIS-JENIS PENDAHULUAN KARANGAN

 Assalamualaikum,

Cukgu harap semua anak murid cikgu sihat dan bersedia untuk mengikuti kelas pagi ini.

Hari ini kita akan belajar tentang  pendahuluan karangan. Untuk itu, cikgu harap murid-murid dapat meneliti dan membaca jenis-jenis pendahuluan yang boleh dibina untuk menghasilkan karangan.

Langkah Menulis Pendahuluan

1.       Penting ditulis dengan sempurna kerana pemeriksa akan membuat penilaian awal pemahaman anda terhadap soalan yang dijawab.

2.       Pendahuluan yang ditulis dapat menggambarkan perkara yang anda tulis dalam karangan anda.

3.       Pendahuluan yang sempurna dapat menarik perhatian pemeriksa.

4.       Pendahuluan ditulis sekadar pengenalan kepada soalan. Oleh itu, jangan ditulis terperinci dan terlalu panjang.

5.       Terdapat sepuluh jenis pendahuluan yang boleh dipilih oleh calon. Pilih jenis pendahulan yang sesuai dengan soalan yang dikemukakan.

 

Pendahuluan Jenis Suasana

(Isu: Remaja Melepak)

Apabila kita berada dalam kompleks beli belah, kita akan terpandang beberapa kumpulan remaja yang berbual-bual sambil bersiul dan memandang setiap indivudu yang lalu-lalang di hadapannya. Mereka begitu selesa dan tidak mempedulikan pandangan orang lain terhadap mereka. Kumpulan remaja yang sedang melepak ini tidak melakukan sebarang aktiviti melainkan bersembang dan mengganggu pelanggan terutama remaja perempuan. Perbuatan mereka ini memberikan pandangan yang tidak elok tentang imej negara kita yang dianggap masih tebal dengan nilai-nilai ketimuran.

 

 

# Pendahuluan Jenis Persoalan

(Isu: Penagihan Dadah)

Isu penagihan dadah seperti tiada penamatnya. Hampir setiap hari terdapat penagih yang ditangkap dan dibicarakan di mahkamah. Mengapakah masalah ini masih berterusan? Apakah pihak yang berkuasa gagal melaksanakan tugas pencegahan? Bagaimana dengan ibu bapa? Bagaimana dengan guru-guru dan pihak sekolah? Sesungguhnya, isu penagihan dadah ini perlu ditangani secara berhemah dan bijaksana, laksana menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung pula tidak berselerak.

 

Pendahuluan Jenis Definisi

(Isu: Gejala Rasuah)

Rasuah merujuk kepada perbuatan memberi dan menerima habuan yang membolehkan satu-satu pihak mendapat keistimewaan. Rasuah merupakan satu kesalahan undang-undang yang serius dan boleh membawa kepada kehancuran sesebuah masyarakat. Istilah “tumbuk rusuk”, “duit kopi” dan “tip” membawa maksud sama dengan rasuah yang perlu dibendung dan dikekang sepenuhnya demi kesejahteraan masyarakat dan negara.

 

Pendahuluan Jenis Sejarah

(Isu: Penubuhan Malaysia)

Tanggal 1 September merupakan tarikh keramat bagi Malaysia. Pada tarikh ini penubuhan Malaysia telah termateri dengan gabungan Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Walaupun, Singapura telah keluar, gabungan persekutuan ini masih utuh dan jitu. Pemerintah dan rakyat dari ketiga-tiga gabungan ini sentiasa hidup harmoni dan saling bersefahaman demi kemajuan dan keamanan yang bakal dinikmati bersama-sama. Sesungguhnya, penubuhan Malaysia memberi keuntungan yang tidak terhingga kepada rakyat dan kini kemakmuran dan kekayaan negara memberi kemakmuran kepada rakyat Malaysia.

 

Pendahuluan Jenis Peribahasa

(Isu: Kerjasama)

Masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu kaya dengan peribahasa. Antara peribahasa yang menekankan aspek kerjasama termasuklah "Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni", "Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah" dan "Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing". Semua peribahasa yang dinyatakan itu sebenarnya membawa konsep kerjasama yang masih diamalkan dalam masyarakat. Konsep ini perlu diamalkan sepanjang masa kerana kerjasama menjadi asas kemajuan yang kita nikmati pada hari ini.

 

Pendahuluan Jenis Puisi/Seni Kata Lagu

(Isu: Pengorbanan Ibu)

Ibu, Ibu,

Engkaulah ratu hatiku

Bila kuberduka

Engkau hiburkan selalu

 

Ibu, Ibu,

Engkaulah ratu hatiku

Seni kata lagu yang dinyanyikan oleh Allahyarham P. Ramlee di atas menggambarkan besarnya pengorbanan ibu yang melahirkan dan membesarkan kita di dunia ini. Seorang ibu sentiasa mengingati anaknya walau di mana dia berada. Bagi seorang ibu, anak lebih utama dan sentiasa mendahulukan anaknya dalam segala urusan.

 

Pendahuluan Jenis gabungan

(Isu: Gejala Buli)

                Buli bermaksud perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan atau maksud untuk menunjukkan kekuatan dan kekuasaan. Tindakan ini  menjadikan mereka yang lemah mematuhi atau menghormati mereka yang kuat. Pada peringkat yang lebih teruk, gejala buli melibatkan tingkah laku agresif sama ada dalam bentuk fizikal atau psikologikal yang dilakukan secara berulang kali ke atas mangsa dengan  bertujuan mendatangkan perasaan tidak selesa, aman, tenteram dan harmoni. Secara keseluruhannya, perbuatan membuli merupakan perbuatan yang tidak baik serta boleh membuatkan orang lain menjadi mangsa serta  mendatangkan ketidakselesaan kepada orang lain.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan