Selasa, 9 Februari 2021

PENGENALAN KEPADA NOVEL JENDELA MENGHADAP JALAN

 MAKSUD NOVEL

 Menurut Rahman Shaari (2001:65), novel ialah karya fiksyen yang panjang.  Di dalamnya terdapat watak, latar, plot dan unsur-unsur fiksyen yang lain.  Ceritanya mengandungi konflik , percubaan menyelesaikan konflik, puncak dan peleraian.  Selain itu , novel juga merupakan karangan berbentuk fiksyen atau cereka, iaitu cerita rekaan.  Nove; ialah cerita panjang yang ditulis dan dikarang dalam bentuk prosa.  Novel dikategorikan sebagai prosa naratif yang sama seperti cerpen.  Jumlah perkataan merupakan ukuran yang digunakan bagi mengkategorikan prosa naratif.  Misalnya, cerita yang mengandungi antara 20 000 – 50 000 patah perkataan dikategorikan sebagai ‘novella’, manakala cereka yang mengandungi lebih daripada 50 000 patah perkataan dikategorikan sebagai novel.

Menurut Shanon Ahmad dalam buku Kamarudin Hj. Husin dan Siti Hajar Hj. Abdul Aziz (1999), mendifinisikan novel sebagai satu bentuk pentadsiran rencaman hidup manusia yang terbina dalam bentuk sastera cereka.  Ia merupakan satu rangkuman tiga faktor utama yang bersaling kait antara satu sama lain, iaitu pengalaman peribadi, realiti rencaman hidup dan imaginasi.   Manakala menurut Kamarudin Hj. Husin dan Siti Hajar Hj. Abdul Aziz (1999), menyatakan novel umumnya merupakan karya panjang dan kompleks sifatnya dengan unsur-unsur utamanya seperti plot, perwatakan, latar dan sudut pandangan.  Lebih terperinci lagi novel adalah sebuah roman yang singkat atau dikenali juga sebagai sebuah prosa panjang yang di dalamnya termuat sebahagian daripada sebuah kehidupan.
 
Menurut Siti Hajar (2009), perkataan ‘novel’ berasal daripada bahasa Itali ‘novella’, daripada bahasa Sepanyol ‘novela’ dan daripada bahasa Perancis ‘nouvelle’ yang bermaksud ‘ sebuah kisah’ atau ‘sepotong berita’.  Terdapat konflik bagi genre kesusasteraan abad ke-17, iaitu antara karya roman yang panjang dengan novel pendek untuk dibawa kepada definisi novel pada hari ini.  Namun demikian, novel lebih panjang dan lebih kompleks berbanding dengan cerpen dan sekurang-kurangnya mengandungi 40 000 patah perkataan.  Novel bukanlah karangan berbentuk fakta.  Penulis novel disebut novelis.
 
Selanjutnya lagi, sebuah novel menceritakan tentang watak dan perlakuan mereka dalam kehidupan dengan menitikberatkan ciri naratif.  Novel tidak terikat oleh sebarang bentuk struktur atau format seperti drama dan sajak.  Ada pendapat yang mengatakan novel menceritakan kejadian yang luar biasa daripada kehidupan manusia.  Konteks ini menerangkan bahawa daripada kejadian tersebutlah lahir sesuatu konflik dan pertikaian.  Ia merupakan kisah yang dibukukan dan dianggap sebagai sebuah karya fiksyen yang di dalamnya terkandung imaginasi pengarang.  Sebuah novel ada kaitan erat dengan masyarakat dan yang dapat dikatakan sebagai dokumentasi sosial.  Isinya juga ialah isi masyarakatnya yang menggambarkan perjuangan dalam kehidupan, pertentangan antara keadilan dengan penindasan, konflik antara manusia, alam, ketuhanan dan perasaan masyarakat yang bercampur baur dengan imaginasi dan lain-lain.

Akhir sekali, novel terdiri daripada tiga elemen utama, iaitu plot, perwatakan, latar dan gaya.  Pada umumnya, plot pula merujuk kepada ‘apa’, perwatakan merujuk kepada ‘siapa’ yang terlibat, latar menerangkan ‘dimana’ dan ‘bila’, manakala gaya pula merujuk kepada ‘bagaimana’ cerita tersebut.  Pandangan yang lain mengatakan novel perlu mempunyai elemen tambahan, iaitu tema, konflik dan gaya.  Novel yang baik dikatakan mengandungi unsur penceritaan, sudut pandangan dan dialog.

SINOPSIS NOVEL JENDELA MENGHADAP JALAN 

 
Lili ialah seorang remaja berusia 17 tahun yang tinggal bersama-­sama ibu dan bapanya di Kuala Lumpur. Ketika cuti sekolah, ibu ingin menghantar Lili bercuti bersama-sama nenek di kampung. Walaupun Lili agak keberatan untuk pulang ke kampung, tetapi disebabkan perasaan hormatnya kepada ibu, Lili pulang juga untuk bercuti bersama-sama datuk dan neneknya.

Ketika berada di kampung, Lili menyaksikan beberapa peristiwa yang menjadikan dirinya lebih tertarik untuk tinggal lebih lama di situ. Datuk Lili merupakan antara orang pertama yang membuka kampung itu. Datuk merupakan seorang pengamal perubatan tradisional. Sejak belakangan ini, pesakit datuk semakin berkurangan kerana mereka beralih kepada cara perubatan moden disebabkan oleh pengaruh yang dibawa oleh anak-anak mereka yang masih muda.

Lili juga menyaksikan pertentangan pendapat antara golongan muda dengan golongan tua berkaitan dengan isu kubah masjid, sama ada perlu diletakkan di atas surau sedia ada ataupun membina masjid baharu. Geetha dan Danel yang ditemuinya ketika dalam perjalanan ke kampung menjadi sahabat baiknya. Mereka mempunyai cara pemikiran yang sama, tetapi bertentangan pendapat dengan masyarakat yang lebih tua di situ.

Terdapat sebuah keluarga yang porak-peranda di kampung itu, iaitu keluarga Che Jah. Anak Che Jah, iaitu Rafiq dan Haziq sering dibelasah oleh orang kampung kerana suka mencuri dan terlibat dalam pengambilan dadah. Pada suatu ketika, sewaktu Lili pulang dari bandar, dia telah ditangkap oleh Rafiq dan Haziq. Lili dibawa ke suatu kawasan yang tidak diketahui dan telah ditawan oleh mereka. Akhirnya, Lili berjaya diselamatkan oleh Danel.

   Walaupun Lili pernah ditawan oleh Rafiq dan Haziq, namun dia mempunyai pendapat yang berbeza dengan orang kampung. Dia tidak memandang rendah kepada Che Jah dan anak-anaknya kerana baginya semua yang terjadi disebabkan oleh suami Che Jah yang tidak bertanggungjawab. Dengan pertolongan Hamimah yang kebetulan datang untuk berubat dengan datuk, akhirnya suami Che Jah ditangkap dan anak-anaknya akan dibantu sehingga pulih. Setelah pulang ke Kuala Lumpur, datuk dan nenek telah menceritakan sejarah kedatangan mereka ke situ dan rahsia jendela yang menghadap jalan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan