PLOT
(a) Peristiwa-peristiwa dalam plot cerpen ini disusun secara tidak kronologi.
(b) Pengenalan – Penulis memperkenalkan watak Ahmad Mutawakkil yang muncul secara tiba-tiba di pintu surau kampungnya sebaik sahaja para makmum selesai menunaikan solat maghrib. Ahmad Mutawakkil dalam keadaan cedera parah dan pakaiannya dipenuhi darah serta lumpur.
(c) Perkembangan – Penulis menceritakan kembali kisah kampungnya yang telah diteroka oleh poyangnya sejak tiga generasi yang lalu. Pada pertengahan tahun 30-an, Tuan Booth sekeluarga telah datang ke kampung itu untuk meneroka belukar dengan mengupah beratus-ratus orang buruh dan ditanami dengan pokok getah. Kemudian, lima belas buah keluarga buruh berketurunan India dibawa masuk untuk bekerja di estet getah milik Tuan Booth itu. Seterusnya, diriwayatkan kisah hidup Ahmad Mutawakkil yang menjadi yatim piatu selepas kematian bapanya, Wak Sadir. Penulis turut mengisahkan Ahmad Mutawakkil terpaksa menumpang hidup dengan Tuan Booth selama tiga tahun.
(d) Perumitan – Pendaratan askar Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941 ternyata mengubah suasana damai di kampung penulis. Ketiadaan Tuan Booth sekeluarga menyebabkan Ahmad Mutawakkil hidup terbiar. Atas dasar prihatin dan tanggungjawab, Imam Ngah Deraman menjadikan Ahmad Mutawakkil sebagai anak angkatnya. Tuan Booth kembali ke banglo di estetnya semula selepas Jepun menyerah kalah. Sandra, iaitu anak gadis Tuan Booth telah menyimpan perasaan terhadap Ahmad Mutawakkil. Hal ini mengundang pelbagai persoalan mengenai hubungan mereka dalam kalangan masyarakat kampung. Lima orang pengganas komunis telah menyerbu banglo Tuan Booth. Mereka mendesak Tuan Booth supaya menasihati Ahmad Mutawakkil agar tidak menghasut rakyat membenci ideologi komunis.
(e) Klimaks – Ahmad Mutawakkil telah didatangi oleh seorang budak lelaki di surau pada malam Jumaat selepas dia selesai menyampaikan ceramahnya. Keesokan harinya, kehilangan Ahmad Mutawakkil menimbulkan tanda tanya dan kegelisahan dalam kalangan masyarakat kampung. Gerakan mencari Ahmad Mutawakkil di segenap pelosok kampung telah dijalankan oleh tiga kumpulan pencari termasuklah Tuan Booth. Ahmad Mutawakkil gagal ditemukan.
(f) Peleraian – Ahmad Mutawakkil meninggal dunia di atas riba Imam Ngah Deraman akibat tembakan tiga butir peluru yang menembusi belakang bahunya. Pada malam 31 Ogos 1957, penduduk kampung telah mengadakan majlis doa kesyukuran untuk meraikan kemerdekaan
tanah air dan majlis bacaan tahlil sebagai tanda mengenang jasa arwah Ahmad Mutawakkil. Setahun kemudian, Sandra kembali ke banglo peninggalan bapanya di estet getah itu lantaran kenangannya yang tidak pernah lenyap terhadap Ahmad Mutawakkil. Dia telah mengajar anak-anak penduduk kampung membaca dan menulis.
Teknik Plot
(a) Teknik dialog. Contohnya, dialog antara Ahmad Mutawakkil dengan Sandra. Ahmad Mutawakkil berasa terhutang budi atas kesudian Sandra mengajarnya menulis dan membaca.
(b) Teknik imbas kembali. Contohnya, penulis mengimbas kembali peristiwa kedatangan sebuah keluarga Orang Putih ke kampungnya.
(c) Teknik imbas muka. Contohnya, penulis membayangkan ketiadaan Sandra, anak gadis Tuan Booth pada malam penyampaian pidato oleh Ahmad Mutawakkil di kampungnya berkemungkinan disebabkan faktor kesihatan atau faktor merajuk.
(d) Teknik kejutan. Contohnya, kemunculan Ahmad Mutawakkil dalam keadaan cedera parah di pintu surau pada permulaan cerita menimbulkan kejutan kepada pembaca sedangkan dialah watak utama dalam cerpen ini.
(e) Teknik monolog dalaman. Contohnya, penulis melahirkan rasa kesyukuran dalam hatinya atas dua perkara walaupun ketika itu Jepun sedang menjajah negerinya itu.
(f) Teknik pemerian. Contohnya, penulis memerihalkan keadaan Ahmad Mutawakkil sewaktu dia muncul secara tiba-tiba di pintu surau kampungnya.
(g) Teknik saspens. Contohnya, peristiwa kemaraan askar Jepun yang menyerang Tanah Melayu pada tahun 1941 telah menimbulkan tanda tanya kepada pembaca tentang nasib penduduk kampung penulis.
SOALAN LATIHAN
Berdasarkan maklumat dalam nota di atas, pada pendapat anda mengapakah Ahmad Mutawakkil berjuang untuk kemerdekaan negara?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan