Selasa, 7 April 2020

Burung Terbang Dipipiskan Lada dan Latihan


Tema


Tema prosa tradisional “Burung Terbang Dipipiskan Lada” ialah kebijaksanaan seorang raja dalam menyelesaikan kemelut yang berlaku dalam kalangan pembesar negeri.




Persoalan 


1. Kebijaksanaan menggunakan strategi dan akal fikiran untuk menyelesaikan masalah.


2. Perpecahan dalam kalangan pembesar akan mengancam kedaulatan negara.


3. Kepentingan ilmu dalam kehidupan.


4. Keberanian dalam menghadapi cabaran.


5. Taat setia kepada pemimpin dapat menjamin kesejahteraan dan keharmonian negara.




Nilai


1. Nilai kebijaksanaan.
Contohnya, Tun Perak bijaksana dalam menghadapi ancaman Siam ke atas negeri Melaka. Beliau mengarahkan semua pohon kayu bakau, nyirih, dan tumpu api-api dibakar. Tindakan beliau ini telah menggerunkan tentera Siam sehingga menyebabkan mereka kembali ke Siam semula.


2. Nilai baik hati.
Contohnya, Sultan Muzaffar Syah bersikap baik hati dengan menganugerahkan persalinan kepada Tun Perak dan tenteranya selepas mereka berjaya mengusir tentera Siam.


3. Nilai berilmu pengetahuan.
Contohnya, Tuan Sidi Arab mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi sehingga mampu membunuh Cau Pandan yang ingin menyerang Melaka dari jauh sahaja.


4. Nilai bersatu padu.
Contohnya, Seri Nara Diraja yang bersepakat dengan Bendahara Paduka Raja telah menjadikan rakyat Melaka bersatu padu dan terus kukuh untuk berhadapan dengan ancaman Siam.


5. Nilai keikhlasan.
Contohnya, Seri Nara Diraja dengan ikhlas hati menyokong pelantikan Paduka Raja sebagai Bendahara Melaka.


6. Nilai keberanian.
Contohnya, Tun Perak bersama-sama dengan tentera Melaka berani menentang tentera Siam yang dipimpin oleh Awi Cakri dan Awi Dicu sehingga kedua-dua gerombolan tentera musuh dapat dikalahkan.


7. Nilai pengorbanan.
Contohnya, Sultan Muzaffar Syah sanggup berkorban, iaitu baginda menceraikan isterinya, Tun Kudu untuk dikahwinkan dengan Seri Nara Diraja demi kebaikan negeri Melaka.




Pengajaran


1. Kita mestilah berani menghadapi ancaman musuh negara.


2. Kita perlu bijak menggunakan strategi untuk menyelesaikan masalah.


3. Kita hendaklah ikhlas semasa melakukan sesuatu tindakan.


4. Kita sepatutnya sanggup berkorban untuk memperoleh kebaikan.


5. Kita haruslah bersatu padu untuk menikmati kehidupan yang harmoni.


6. Kita hendaklah menggunakan ilmu pengetahuan untuk melakukan tindakan yang betul dan tepat.





Latihan

Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.



Hatta, berapa lamanya datang pula orang Siam menyerang Melaka; Awi Dicu nama panglimanya. Maka kedengaran khabarnya ke Melaka; maka dipersembahkan orang kepada Sultan. Maka baginda pun menitahkan Bendahara Paduka Raja berlengkap akan mengeluari orang Siam. Seri Bija Diraja dan segala hulubalang sekaliannya dititahkan baginda mengiringkan Bendahara Paduka Raja itu.Adapun Seri Bija Diraja itu sedia asal orang Melayu, Tun Hamzah namanya, asalnya daripada Muntah Lembu; ialah dipanggil orang Datuk Bongkok. Apabila berjalan atau duduk, bongkok ia. Oleh sebab sangat gagah dan berani ia menjadi hulubalang besar, duduk di atas segala hulubalang. Telah sudah lengkap, maka Bendahara Paduka Raja pun pergilah mengeluari Siam itu, bersama-sama dengan Seri Bija Diraja, dengan segala hulubalang banyak. Maka orang Siam pun hampir ke Batu Pahat.

Maka ada seorang anak Seri Bija Diraja, Tun Umar namanya, terlalu berani kelakuannya gila-gila bahasa.Maka disuruhkan oleh Bendahara Paduka Raja suluh perahu Siam itu. Maka Tun Umar pun pergilah dengan sebuah perahunya olang-oleng. Telah bertemu dengan perahu Siam yang banyak itu, maka dilanggarnya sekali,dua tiga buah perahu Siam alah, lalu ia terus pergi ke sebelah;maka ia berbalik, dilanggarnya pula yang lain, itu pun dua tiga buah perahu Siam alah. Maka Tun Umar pun kembalilah. Maka orang Siam terlalu hairan melihat kelakuan Tun Umar itu.



(Dipetik daripada “Burung Terbang Dipipiskan Lada”

Dalam antologi Sejadah Rindu,

Dewan Bahasa dan Pustaka




(i) Apakah maksud berlengkap akan mengeluari? [2 markah]



Maksud berlengkap akan mengeluari ialah bersiap sedia untuk mengusir.





(ii) Mengapakah orang Siam hairan melihat kelakuan Tun Umar? [3 markah]



Orang Siam hairan melihat kelakuan Tun Umar kerana Tun Umar berjaya mengalahkan perahu Siam walaupun menggunakan perahu yang kecil dan dia melakukannya beberapa kali.





(iii) Pada pendapat anda, bagaimanakah cara untuk menghentikan peperangan yang

berlaku antara dua buah negara? [3 markah]



Pada pendapat saya, cara untuk menghentikan peperangan yang berlaku antara dua buah negara ialah meminta bantuan negara lain untuk menghentikan peperangan dan melaksanakan rundingan damai untuk mencari jalan penyelesaian.

3 ulasan: