Isnin, 13 April 2020

Pemahaman Prosa tradisional


Terkait pada soalan 2(C)  dalam soalan Kertas 2 Bahasa Melayu SPM


8 markah diperuntukkan untuk bahagian ini.


Terdapat 2 petikan prosa tradisional yang perlu dipelajari untuk menjawab bahagian ini:

1. Kepimpinan Melalui Teladan dalam antologi Jaket kulit Kijang dari Istanbul semasa berada dalam Tingkatan 4 dan

2. Burung Terbang Dipipiskan Lada dalam antologi Sejadah Rindu semasa tingkatan 5




Berikut Disertakan contoh soalan untuk rujukan



2 (C) Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab                         

         soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Setelah datang kepada Patih Gajah Mada, Kertala Sari pun duduk menyembah. Maka kata patih gajah Mada, “Hai anakku Kertala sari, sebab aku menyuruh memanggil anakku ini kerana pesan bapamu kepada aku,  ‘Jangan tiada dikasihi anakku ini,’ kerana bapamu sudah mati dengan pekerjaan Seri Betara. Akan sekarang anakku hendak dijadikan penggawa agung.”

Setelah Kertala sari mendengar kata Patih Gajah Mada itu, maka Kertala Sari terlalu sukacita hatinya seraya menyembah kaki Patih Gajah Mada.

Maka sembah Kertala Sari,”Endah apatah pekerjaan membunuh Ratu Melaka dan laksamana itu? Pada hati manira, jika negerinya pun dapat manira alahkan dengan seorang kula juga, syahadan segala anak bininya orang Melaka itu pun dapat manira ambil. Adapun jika belum manira bunuh Ratu Melaka dan Laksamana itu belum mati,tiada mahu manira jadi penggawa.”

Setelah Patih gajah Mada mendengar demikian itu, maka ia pun terlalu sukacita, seraya diperjamunya makan minum dan bersuka-sukaan dan diberinya persalin. Setelah sudah maka Kertala sari pun dibawanya masuk mengadap Seri Betara. Maka sembah Patih Gajah Mada, “apapun penjurit tujuh orang dititahkan oleh Paduka Betara pergi ke Melaka itu khabarnya sudah mati dibunuh oleh Laksamana ketujuhnya.”

Sebermula negeri Melaka pun sedikit alah olehnya. Akan sekarang baharulah patih beroleh penjurit terlalu kepetangan, imilah penjuritnya. Kertala sari namanya, anak Petala Bumi yang dipesan oleh bapanya kepada patik.”

Dipetik daripada ‘Kepimpinan Melalui Teladan’

dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul,

Dewan Bahasa dan Pustaka



(i).    Berikan maksud mati dengan pekerjaan? [2 markah]



(ii)    Apakah reaksi dan tindakan Patih Gajah Mada setelah mendengar kata-kata yang    diucapkan oleh Kertala Sari? [3 markah]



(iii)   Pada pendapat anda , mengapakah Patih Gajah Mada ingin melantik Kertala Sari sebagai penggawa agung ? [3 markah]

 



Panduan Menjawab Soalan 2c (i)



Cari maksud rangkai kata berdasarkan konteks ayat menggunakan idea sendiri 


Ketika menulis jawapan (i), gugurkan kata arahan soalan dan tanda soal 


Salin separuh daripada ayat soalan dan disambungkan kepada maksud yang dicari.



Contoh soalan: Berikan maksud mati dengan pekerjaan? [2 markah]

Contoh jawapan : Maksud rangkai kata ialah meninggal dunia semasa menjalankan tugas.




Panduan Menjawab Soalan 2c (ii)



Jawapan untuk soalan ini terdapat dalam petikan yang telah diberikan.



Cari kata kunci dalam soalan tersebut untuk dijadikan panduan untuk mencari jawapan dalam petikan (perlu cari tiga jawapan).



Contoh soalan: Apakah reaksi dan tindakan Patih Gajah Mada setelah mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Kertala Sari? [3 markah]



Contoh Jawapan ...Reaksi dan tindakan Patih Gajah Mada setelah mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Kertala Sari ialah (1) ia terlalu sukacita, (2) seraya diperjamunya makan minum, (3)bersuka-sukaan dan (4) diberinya persalin.







Panduan Menjawab soalan 2c (iii)



Jawapan untuk soalan ini berdasarkan idea atau pendapat sendiri.



Murid perlu mengemukakan idea berdasarkan jumlah markah (3 markah - 3 idea)



Ketika menulis jawapan, salin separuh daripada ayat soalan



Gantikan perkataan anda kepada saya



Gugurkan kata tanya dan tanda soal



Sambungkan kepada idea atau pendapat sendiri serta menggunakan dua penanda wacana.



Contoh soalan: Pada pendapat anda,mengapakah Patih Gajah Mada ingin melantik Kertala Sari sebagai penggawa agung ? [3 markah]



Pada pendapat saya Patih Gajah Mada ingin melantik Kertala Sari sebagai penggawa agung kerana.........................................Selain itu,............................................. ........................Seterusnya, ............................................. ...................



Contoh Jawapan.... Pada pendapat saya, Patih Gajah Mada ingin melantik Kertala Sari sebagai penggawa agung kerana (1) ingin membakar semangat juang Kertala Sari untuk melawan musuh. Selain itu, (2) pelantikan ini supaya Kertala Sari boleh membalas dendam atas kematian bapanya yang telah dibunuh oleh Laksamana. Seterusnya, (3) pelantikan ini untuk menghargai jasa bapa Kertala Sari yang terkorban di tangan Laksamana Melaka.

2 ulasan: