Khamis, 16 April 2020

Pemahaman Petikan Umum

1. Soalan 2(a), Kertas 2 (1103/2) SPM

2. Soalan diambil daripada petikan soalan rumusan.

3. Markah yang diperuntukkan ialah 9 markah.

4. Perincian markah untuk bahagian  ini ialah:

Soalan (i) - berdasarkan pemahaman teks yang lazimnya meminta calon-calon memberikan definisi rangkai kata. 2 markah diperuntukkan. Tukar semua perkataan dalam rangkai kata dengan makna yang seerti

soalan (ii) - berdasarkan pemahaman teks. Biasanya jawapan ada dalam petikan.3 markah diperuntukkan. Berikan 3 isi yang boleh dicari dalam petikan

Soalan (iii) - berdasarkan kemahiran berfikir. 4 markah diperuntukkan. Berikan 4 isi dengan huraian.

Perkara yang diambil kira untuk  pemarkahan ialah jumlah isi.



Soalan 2(a) – Petikan Umum
Berdasarkan petikan, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Hutan paya laut sejenis hutan yang ada di persisiran pantai berlumpur di kawasan tropika dan subtropika. Hutan paya laut juga dikatakan sejenis hutan yang berada di antara tanah darat dengan laut. Tumbuhannya mengalami penyesuaian bagi menghadapi sekitaran air laut yang masin. Antara ciri pengubahsuaian tumbuhan hutan paya laut termasuklah kewujudan struktur akar jangkang yang tumbuh daripada pangkal pokok. Antara spesies tumbuhan hutan paya laut yang mempunyai akar jangkang termasuklah bakau minyak, bakau kurap dan akik jalar.

Tumbuhan hutan paya laut penting kerana mempunyai daya tahan yang tinggi terhadap air masin. Daun yang tebal dapat menyaring kepekatan garam yang ada di dalam air laut. Hutan paya laut mendatangkan hasil daripada sumber industri perhutanan. Antara hasil yang dapat diperoleh daripada hutan paya laut termasuklah kayu bakau yang digunakan sebagai kayu arang, kayu cerucuk yang digunakan dalam sektor pembinaan dan kayu pancang yang digunakan dalam industri penangkapan ikan. Dari segi sekitaran, hutan ini sangat penting kerana mengurangkan dan memperlahankan hakisan pantai. Ada sesetengah kawasan di sepanjang persisiran pantai yang terdedah kepada hakisan. Dengan adanya hutan paya laut, hakisan pantai dapat dikurangkan.

Selain itu, dengan adanya jajaran hutan ini di sepanjang pantai, kelajuan angin ketika ribut petir yang datang dari arah laut dapat dikurangkan. Tidak terkecuali, hutan paya laut ialah sumber asli yang dapat kekal selama-lamanya jika diurus dengan baik. Hutan ini juga menjadi kawasan rekreasi semula jadi dan kawasan pelancongan yang dapat memberikan pulangan pendapatan kepada negara. Hutan paya laut dapat dijadikan sebagai kawasan hutan pembelajaran bagi generasi muda untuk menghayati kehidupan yang harmoni dengan sekitaran dan alam semula jadi. Kini hutan paya laut sentiasa terancam disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya termasuklah kegunaan tanah untuk tujuan pembangunan, seperti perumahan dan perindustrian. Penebangan hutan paya laut yang tidak terkawal juga menyebabkan spesies yang disenaraikan sebagai terancam tidak dapat dikawal. Pengeluaran tumbuhan spesies hutan paya laut dari tempat asalnya secara ekstensif untuk tujuan tanaman hiasan turut menyebabkan kepupusannya.

Kewujudan hutan paya laut amat wajar dipelihara. Beberapa spesies hutan paya laut kini mengalami proses kepupusan kerana dimusnahkan atas sebab-sebab yang telah dinyatakan. Oleh itu, kewujudan hutan paya laut perlu dipertahankan oleh generasi yang ada demi memastikan kelestariannya. Jangan sampai suatu masa nanti, kita kehilangan warisan yang amat bernilai ini.
(Dipetik dan diubah suai daripada
‘Spesies Hutan Paya Laut Terancam’,
oleh Mohd Nasir Husin, Hyrul Izwan Hussin dan Tariq Mubarak Husin,
Dewan Kosmik, Februari 2016)




(i) Berikan maksud rangkai kata mendatangkan hasil? [2 markah]
 Maksud rangkai kata mendatangkan hasil memberi pendapatan.

 (ii) Berdasarkan petikan, pengarang ada menjelaskan punca yang menyebabkan spesies hutan paya laut terancam.
Nyatakan punca-punca tersebut. [3 markah]
Punca-punca spesies hutan paya laut terancam ialah (1) kegunaan tanah untuk tujuan pembangunan, seperti perumahan dan perindustrian, (2) penebangan hutan paya laut yang tidak terkawal dan (3) pengeluaran tumbuhan spesies hutan paya laut dari tempat asalnya secara ekstensif untuk tujuan tanaman hiasan

(iii) Hutan paya laut sangat penting untuk kelestarian hidup generasi akan datang.
Pada pendapat anda, apakah peranan yang boleh dimainkan oleh pihak sekolah bagi mendidik murid-murid mencintai hutan paya laut? [4 markah]
Peranan yang boleh dimainkan oleh pihak sekolah ialah (1) menanam pokok-pokok hiasan di sekolah. Selain itu, 2) sekolah boleh membuat lawatan ke kawasan hutan paya laut dan (3) menganjurkan gotong-royong mbersihkan pantai. Seterusnya, (4) sekolah membuat penerapan dalam pengajaran tentang kepentingan hutan paya laut.

Ubah suai daripada Modul Budidaya, JPN Kedah


2 ulasan: