SINOPSIS
Kedengaran
ke benua Siam bahawa negeri Melaka sebuah negeri yang besar dan tidak ditakluki
oleh mana-mana empayar. Raja Siam, iaitu Paduka Bubunnya pun menyuruh utusan ke
Melaka untuk meminta surat sembah. Sultan Melaka, iaitu Sultan Muzaffar Syah
tidak mahu menyembah raja Siam. Raja Siam berasa amat marah lalu memerintah-kan
hulubalangnya, iaitu Awi Cakri untuk menyerang Melaka.
Berita Siam
hendak menyerang Melaka telah didengari oleh Sultan Muzaffar Syah. Lantas,
baginda memerintahkan rakyat dihimpunkan di Melaka. Sehubungan dengan itu,
semua rakyat lelaki dibawa berhimpun di Melaka. Bagaimanapun, Tun Perak telah
menghimpunkan orang lelaki dari Kelang bersama-sama dengan isteri dan anak-anak
mereka. Tujuannya adalah untuk memastikan mereka berperang dengan
sungguh-sungguh demi isteri dan anak-anak mereka. Kebijaksanaan Tun Perak
mendapat perhatian Sultan Melaka. Selepas Melaka menang ke atas Siam, Tun Perak
diperintahkan agar menetap di Melaka dan dilantik sebagai bentara.
Kemudian,
ada seorang orang Kelang mengadu kepada Sultan Melaka bahawa Tun Perak telah
menganiayai dirinya. Sultan Melaka pun memerintahkan Tun Perak supaya menghadap
baginda. Tun Perak menyatakan bahawa dia tahu akan tanggungjawabnya untuk
menjaga negeri Melaka. Tun Perak mahu dia dipecat lebih dahulu sekiranya dia
ingin dicerca disebabkan orang yang mengadu hal tersebut. Kata-kata Tun Perak
itu memikat hati Sultan Melaka. Tun Perak dilantik sebagai Perdana Menteri dengan gelaran Paduka
Raja. Tun Perak duduk setara dengan Seri Nara Diraja di seri balai.
Sementara
itu, orang Melayu pun terbahagi kepada dua kumpulan. Sebahagiannya mengikut
Paduka Raja dan sebahagian lagi mengikut Seri Nara Diraja. Kedua-dua pembesar
ini tidak bermuafakat dan sering berselisih faham. Sultan Melaka berasa
dukacita kerana sikap kedua-dua pembesar itu akan membinasakan negeri Melaka. Baginda
bercadang untuk mendamaikan Tun Perak dengan Seri Nara Diraja. Oleh hal yang
demikian, Seri Nara Diraja telah dikahwinkan dengan Tun Kudu, iaitu anak
Bendahara Seri Wak Raja yang bersaudara pula dengan Paduka Raja. Tun Kudu ialah
isteri Sultan Melaka tetapi telah diceraikan oleh baginda. Tun Kudu dipelihara
oleh Paduka Raja. Segala perbelanjaannya ditanggung oleh Sultan Melaka. Setelah
Seri Nara Diraja berkahwin dengan Tun Kudu, Seri Nara Diraja telah berbaik-baik
dengan Paduka Raja. Malah Seri Nara Diraja memberikan sokongannya terhadap
Paduka Raja untuk dilantik sebagai bendahara. Kebijaksanaan Bendahara Paduka
Raja setara dengan Patih Aria Gajah Mada di Majapahit dan Orang Kaya Kanayan di
Pasai. Seri Nara Diraja pula menjadi
penghulu bendahari di Melaka.
Setelah
beberapa lama kemudian, orang Siam, iaitu di bawah panglima Awi Dicu mahu
menyerang Melaka lagi. Sultan Melaka memerintahkan Bendahara Paduka Raja agar
bersiap sedia untuk menentang orang Siam. Seri Bija Diraja turut diperintahkan
membantu Bendahara Paduka Raja untuk mengusir orang Siam yang telah menghampiri
Batu Pahat. Bendahara Paduka Raja telah memerintah Tun Umar supaya menaiki
perahu untuk memeriksa perahu Siam. Tun Umar yang berani itu telah melanggar
beberapa buah perahu Siam sehingga mereka kalah. Tindakan Tun Umar membuatkan
orang Siam berasa sungguh hairan.
Setelah
hari malam, Bendahara Paduka Raja mengarahkan agar pohon-pohon kayu bakau,
nyirih, dan tumpu api-api dibakar. Tindakan tersebut telah dilihat oleh orang
Siam. Hulubalangnya berpendapat bahawa kelengkapan Melaka sungguh banyak.
Dengan itu, orang Siam menjadi takut dan tidak jadi berperang lalu kembali ke
Siam.
Di Melaka,
Sultan Muzaffar Syah telah meraikan tenteranya dengan memberikan persalinan
yang mulia-mulia. Sebaliknya di Siam pula, Paduka Bubunnya berasa terlalu
marah. Lantas baginda sendiri ingin menyerang Melaka. Sebaliknya, Cau Pandan,
iatu anak Paduka Bubunnya mahu dia diperlengkapkan untuk mengalahkan Melaka.
Paduka Bubunnya berasa sangat gembira dan mengarahkan anaknya itu
diperlengkapkan dengan Pra Kelong lapan ratus sum dan perahu-perahu kecil yang tidak
terbilang banyaknya.
Khabar
tentang tentera Siam yang dipimpin oleh Cau Pandan akan menyerang telah
kedengaran di Melaka. Namun begitu, Tuan Sidi Arab yang menetap di Melaka dan
pandai bermain panah lasykar telah menghalakan panahnya ke benua Siam sambil
melaungkan kata-kata bahawa Cau Pandan akan mati. Sultan Muzaffar Syah mengatakan
bahawa Tuan Sidi Arab itu benar-benar warak sekiranya Cau Pandan betul-betul
mati.
Di benua
Siam pula, Cau Pandan berasa dadanya seperti terkena panah. Cau Pandan jatuh
sakit dan muntah darah lalu mati. Oleh hal yang demikian, rancangan Siam untuk
menyerang Melaka tidak diteruskan. Kematian Cau Pandan telah tersebar ke
Melaka. Sultan Muzaffar Syah yang mendengar khabar tersebut mengakui Tuan Sidi
Arab seorang yang warak, lalu memberikan pujian dan anugerah kepada beliau.
Selepas 42
tahun menaiki takhta, akhirnya Sultan Muzaffar Syah pun mangkat. Takhta Melaka
telah digantikan oleh anakanda baginda, iaitu Raja Abdullah. Baginda digelar Sultan
Mansur Syah. Usia baginda sewaktu menaiki takhta itu ialah 27 tahun. Sultan
Mansur Syah seorang yang kacak, adil, dan pemurah. Baginda telah berkahwin
dengan Tun Patih Nur Pualam, iaitu anak Seri Nara Diraja.
PERSOALAN
(a) Kebijaksanaan
menggunakan strategi dan akal fikiran untuk menyelesaikan masalah.
Contoh: Sultan
Muzaffar menggunakan strategi mengahwinkan Seri Nara Diraja dengan Tun Kudu
untuk mendamaikan Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja.
(b) Perpecahan
dalam kalangan pembesar akan mengancam kedaulatan negara.
Contoh: Perbalahan
antara Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja menyebabkan orang Melayu berpecah
dua dan Melaka dalam keadaan bahaya.
(c) Bersiap
siaga dengan ancaman musuh
Contoh: Paduka
Raja sentiasa bersiap sedia dengan strategi awal yang bijak untuk mengalahkan
askar Siam.
(d) Kepentingan
ilmu dalam kehidupan.
Contoh: Tun
Sidi Arab memiliki ilmu yang tinggi hingga boleh membunuh Cau Pandan di Siam
hanya dengan menggunakan panahnya dari Melaka.
(e) Keberanian
dalam menghadapi cabaran.
Contoh: Tun
Perak tidak takut apabila dipanggil sultan setelah orang Kelang menuduhnya
menganiaya sultan sebaliknya beliau berani memberi jawapan yang baik hingga
sultan melantiknya sebagai perdana menteri.
(f) Taat
setia kepada pemimpin dapat menjamin kesejahteraan dan keharmonian negara.
Contoh: Rakyat
Melaka setia dan memberikan daulat kepada sultan Muzaffar hingga menjadikan
Melaka sebuah negeri yang kuat dan maju.
NILAI
(a) Kebijaksanaan.
Contohnya, Tun Perak bijaksana dalam menghadapi ancaman Siam ke atas negeri
Melaka. Beliau mengarahkan semua pohon kayu bakau, nyirih, dan tumpu api-api
dibakar. Tindakan beliau ini telah menggerunkan tentera Siam sehingga
menyebabkan mereka kembali ke Siam semula.
(b) Baik
hati. Contohnya, Sultan Muzaffar Syah bersikap baik hati dengan menganugerahkan
persalinan kepada Tun Perak dan tenteranya selepas mereka berjaya mengusir
tentera Siam.
(c) Berilmu
pengetahuan. Contohnya, Tuan Sidi Arab mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi
sehingga mampu membunuh Cau Pandan yang ingin menyerang Melaka dari jauh
sahaja.
(d) Bersatu
padu. Contohnya, Seri Nara Diraja yang bersepakat dengan Bendahara Paduka Raja
telah menjadikan rakyat Melaka bersatu padu dan terus kukuh untuk berhadapan
dengan ancaman Siam.
(e) Keikhlasan.
Contohnya, Seri Nara Diraja dengan ikhlas hati menyokong pelantikan Paduka Raja
sebagai Bendahara Melaka.
(f) Keberanian.
Contohnya, Tun Perak bersama-sama dengan tentera Melaka berani menentang
tentera Siam yang dipimpin oleh Awi Cakri dan Awi Dicu sehingga kedua-dua
gerombolan tentera musuh dapat dikalahkan.
(g) Pengorbanan.
Contohnya, Sultan Muzaffar Syah sanggup berkorban, iaitu baginda menceraikan
isterinya, Tun Kudu untuk dikahwinkan dengan Seri Nara Diraja demi kebaikan
negeri Melaka.
PENGAJARAN
(a) Kita
mestilah berani menghadapi ancaman musuh negara.
Contoh: Tun
Perak dan tentera-tenteranya berani menentang tentera Siam.
(b) Kita
perlu bijak menggunakan strategi untuk menyelesaikan masalah.
Contoh: Sultan
Muzaffar Syah bijaksana dalam menyelesaikan konflik antara Seri Nara Diraja
dengan Padka Raja. Tindakan baginda mengahwinkan Seri Nara Diraja dengan Tun
Kudu, iaitu saudara Tun Perak telah berjaya menyelesaikan perbalahan antara dua
pembesar dan membawa kepada keharmonian neger Melaka.
(c) Kita
hendaklah ikhlas semasa melakukan sesuatu tindakan.
Contoh: Seri
Nara Diraja ikhlas menyokong pelantikan Paduka Raja sebgai Bendahara Melaka.
(d) Kita
sepatutnya sanggup berkorban untuk memperoleh kebaikan.
Contoh: Sultan
Muzaffar sanggup berkorban dengan menceraikan isterinya, Tun Kudu untuk
dikahwinkan dengan Seri Nara Diraja. Tindakan tersebut dilakukan supaya Seri
Nara Diraja berbaik-baik dengan Tun Perak.
(e) Kita
haruslah bersatu padu untuk menikmati kehidupan yang harmoni.
Contoh: Seri
Nara Diraja dan Bendahara Paduka Raja hidup bermuafakat dengan bersatu padu
sehingga membolehkan Melaka menghadapi ancaman Siam.
(f) Kita
mestilah menghargai jasa dan usaha yang telah dilakukan oleh orang lain kepada
kita.
Contoh: Sultan
Muzaffar memberikan askarnya yang menang peperangan dengan sepasang persalinan.
(g) Kita
hendaklah menggunakan ilmu pengetahuan untuk melakukan tindakan yang betul dan
tepat.
Contoh: Tuan
Sidi Arab menggunakan ilmu pengetahuannya yang tinggi untuk membunuh Cau Pandan
yang ingin menyerang Melaka dari jauh demi memastikan keamanan Melaka tidak
tergugat.