Isnin, 27 September 2021

PERIBAHASA

Peribahasa adalah suatu susunan kata dalam bentuk kiasan dan berlapik yang mempunyai pengertian tersirat. Susunan kata-kata kiasan ini tercipta berdasarkan pengalaman kehidupan seharian oleh masyarakat. Peribahasa menjadi suatu bentuk luahan sindiran dan pengajaran yang digunakan oleh nenek moyang secara kiasan yang diwarisi generasi demi generasi sejak berzaman. 

 1. Ada padi, semua kerja jadi, ada beras, semua kerja deras. Maksudnya: Orang yang berkemampuan akan dapat mencapai sesuatu hajatnya dengan senang. Peribahasa ini mengajak kita untuk bekerja keras mengumpu duit dan harta kerana dalam dunia yang serba mencabar ini, segalanya memerlukan duit. 

Contoh ayat untuk peribahasa ini ialah: "Tahun ini Haji Razak akan menunaikan haji sekali lagi, sunggguhlah kata orang tua, ada padi, semua kerja jadi ". 

 

2. Ada ubi ada batas, ada budi boleh balas. Maksudnya: Setiap kebaikan yang kita lakukan dibalas dengan kebaikan, sebegitu juga sekiranya kita membuat kejahatan, pastinya akan dibalas dengan kejahatan juga. Peribahasa ini merupakan satu peringatan kepada kita supaya sentiasa berbuat baik dan elakkan daripada berbuat jahat kepada orang lain. 

Contoh ayat untuk peribahasa ini ialah: "Terima kasih kerana sudi memulangkan semula dompet saya yang tercicir ini. Ada ubi ada batas, ada budi akan dibalas."

 

3. Ada udang di sebalik batu.  Maksudnya: Seseorang yang mempunyai agenda tersembunyi di sebalik perlakuaannya. Peribahasa ini memperkatakan tentang seseorang yang melakukan sesuatu perkara dengan niat lain yang tersembunyi. 

Contoh ayat yang boleh dibina dengan menggunakan peribahasa ini ialah: "Sejak Latifah bekerja di kedai Mak Limah, semakin kerap Halim singgah dan duduk lama di sana, ini mesti ada udang di sebalim batu ". 

 

 LATIHAN 

Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti, kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai dengan ayat-ayat tersebut. 

 1. Tiap-tiap petang Kamalia dan rakan-rakannya bersiar-siar di taman bunga itu untuk menghilangkan penat. 

2. Janganlah kita boros berbelanja, sebaliknya berbelanjalah mengikut kemampuan atau bersesuaian dengan pendapatan yang kita peroleh setiap bulan. 

3. Apabila kita berada di rantau orang, janganlah kita meninggi diri dan patuhilah adat resam tempat tersebut. 

4. Mak Mah mendidik dan menjaga anak tirinya dengan penuh kasih sayang. 

5. Hadiah kemenangan dalam acara tarik tali itu dibahagi secara adil kepada semua ahli kumpulan. 

6. Sekiranya kita ingin mencapai kejayaan dalam hidup, kita perlulah berusaha dengan gigih tanpa rasa jemu. 

7. Pasukan penyelamat mengambil langkah berjaga-jaga menyiapkan bantuan kepada mangsa banjir sebelum musim tengkujuh tiba. 

8. Dalam mengejar cita-cita pelbagai kesukaran akan ditempuh, namun ibu sering berpesan kepada anak-anaknya supaya sentiasa berusaha dan jangan mudah berputus asa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan