Telefon Bimbit
Telefon bimbit sudah menjadi sesuatu yang sukar untuk dipisahkan daripada kehidupan seharian kita. Sekitar 10-15 tahun yang lalu, telefon bimbit menjadi simbol status orang yang memilikinya, lantaran kos yang tinggi untuk alat telefon dan langganan perkhidmatannya.
Namun kini, telefon bimbit mampu dimiliki oleh semua orang termasuk mahasiswa, petani, pekerja binaan, pemotong rumput, malah pelajar sekolah pun sudah memilikinya. Namun, pernahkah kita terfikir, bolehkah kita hidup tanpa telefon bimbit? Atau dengan maksud lain, adakah kita benar-benar perlu menggunakan telefon bimbit? Mungkin ada yang menganggap soalan ini sebagai sesuatu yang tidak masuk akal. Hakikatnya, manusia pernah hidup tanpa telefon bimbit. Malah, manusia dahulu kala pernah hidup tanpa kecanggihan teknologi yang kita kecapi sekarang. Akan tetapi kehidupan manusia telah jauh berubah. Tamadun manusia zaman sekarang berbeza dengan kemudahan yang ada pada zaman dahulu.
Tuntutan-tuntutan kehidupan masa ini jauh lebih mencabar, yang memerlukan peningkatan keupayaan manusia yang jauh lebih tinggi berbanding dahulu. Teknologi yang dibangunkan oleh manusia bertujuan untuk meningkatkan keupayaan tersebut. Oleh sebab itu, kita mungkin boleh mula bertanya, untuk apa kita menggunakan telefon bimbit? Tujuan utama bagi kebanyakan orang adalah untuk berkomunikasi, agar boleh menghubungi dan dihubungi. Selain dalam bentuk suara, pesanan ringkas (SMS), pesanan multimedia (MMS) serta panggilan video dan e-mel sudah pun menjadi cara kita berkomunikasi menggunakan telefon bimbit.
Ada juga yang melayari Internet melalui telefon bimbit. Semakin ramai menggunakan telefon bimbit untuk membantu merancang perjalanan aktiviti seharian dengan fungsi kalendar, penggera dan sebagainya bagi mengingatkan waktu mesyuarat, tugas yang perlu dilaksanakan dan seumpamanya. Satu fungsi telefon bimbit yang popular adalah untuk merakam atau memainkan rakaman audio visual seperti bacaan al-Quran, zikir dan selawat, lagu, foto dan video.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan