CABARAN INDUSTRI PELANCONGAN
BUKAN sekali dua negara kita digemparkan dengan kelakuan tidak senonoh, salah laku dan jenayah yang dilakukan oleh pelancong asing. Sudah banyak kali ia berlaku. Sebagai sebuah negara Islam dan penduduknya berpegang kepada nilai-nilai ketimuran dan menjaga adab sopan, kita tentunya berasa tidak senang dengan tindakan pelancong asing yang tidak menghormati budaya kita apabila bertandang ke negara ini.
Isu moral pelancong asing di negara sebenarnya adalah satu cabaran baharu industri pelancongan Malaysia. Kes-kes seperti pelancong asing berjemur di pantai tanpa pakaian dan separuh bogel adalah satu cabaran yang sukar ditangani sekiranya mereka ini tidak memahami budaya negara ini atau dengan sengaja tidak mahu menghormati peraturan-peraturan yang telah ditetapkan di sesuatu destinasi pelancongan kita.
Setiap lokasi pelancongan di negara kita tidak kira sama ada pantai, pulau, tempat bersejarah, tanah tinggi dan sebagainya sudah mempunyai peraturan-peraturan yang ditulis dalam pelbagai bahasa untuk mengingatkan setiap pelancong tentang apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh di kawasan-kawasan pelancongan tersebut. Maka, ini semua bergantung kepada penguatkuasaan, pemantauan dan sikap pelancong itu sendiri untuk mengelakkan berlakunya perbuatan-perbuatan yang sumbang pada pandangan rakyat tempatan kita. Secara logiknya, memang sukar bagi pihak berkuasa di sesuatu kawasan pelancongan boleh menangani setiap tingkah laku pelancong. Jika ramai pelancong, makin banyak kerenahnya dan makin sukarlah hendak dikawal. Papan tanda arahan dan amaran sudah cukup untuk membuktikan bahawa kita sudah berusaha menyekat perbuatan-perbuatan yang bercanggah dengan budaya kita ini. Cumanya, kita terpaksa berserah kepada ‘kebijaksanaan’ pelancong luar ini, sama ada mereka mahu melancong untuk menikmati keindahan, memperoleh pengetahuan atau memberi bebanan kepada kita.
Pelancong yang bertanggungjawab tentunya akan menghormati budaya, agama dan sensitiviti penduduk di sesebuah negara yang dilawati, bukannya membawa pelbagai masalah kepada negara yang dikunjungi. Samalah juga, jika pelancong datang ke negara kita untuk melakukan jenayah, niatnya sudah tersasar dan tidak boleh dimaafkan malah tindakan tegas mesti diambil ke atas pelancong seperti ini. Ironinya, jika penduduk dari negara ini melancong ke negara asing, undang-undang atau peraturan di negara itu mesti kita dipatuhi. Kerana itulah, pepatah ada mengatakan, ‘masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak’ yang menunjukkan bahawa kita mesti ikut apa yang kebanyakan orang itu buat di tempat mereka, tetapi apa yang dibuat itu adalah perkara yang baik-baik.
Setiap tahun, kita menyasarkan peningkatan jumlah pelancong asing ke negara ini memandangkan pelancong asing turut menjana pendapatan negara. Pelbagai cara dan pendekatan kita lakukan untuk mencapai matlamat tersebut tetapi industri ini tetap mempunyai pelbagai halangan. Justeru untuk menangani isu pelancong asing yang berkelakuan tidak senonoh ini, garis panduan untuk mereka mesti diperkemaskan. Dalam kita mengalu-alukan pelancong asing, kita juga perlu bertegas dalam soal peraturan, adab sopan dan budaya negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan